THANGARAJ di lokasi lembu peliharaannya ditemukan mati. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
THANGARAJ di lokasi lembu peliharaannya ditemukan mati. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Polis menjalankan siasatan kes kematian 40 lembu di Ladang Buah Naga Sungai Rotan Padang Gajah di sini, semalam, bagi mengenal pasti sama ada ia ada unsur khianat atau sebaliknya.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sudah pun mengambil sampel tadahan air di dalam tong besi serta racun tanaman yang digunakan untuk pertanian untuk dianalisis.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) juga sudah membuat bedah siasat dengan mengambil jantung, limpa, paru-paru, hati dan ginjal lembu yang mati itu untuk dianalisis punca kematian.

"Berdasarkan maklumat pengadu (pekerja ladang), sekitar 9 pagi, ketika dia masuk berkerja di ladang itu, dia dimaklumkan seorang rakan menemukan beberapa lembu yang tidak diketahui pemiliknya dalam keadaan bergelimpangan di ladang itu.

"Seterusnya pengadu membuat pemeriksaan dan mendapati kesemua lembu ditemukan sudah mati, dia seterusnya membuat laporan di Balai Polis Padang Gajah dengan tujuan tidak mahu bertanggungjawab atas kejadian yang berlaku," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya menemukan kesemua lembu yang mati itu dalam lingkungan sekitar dua kilometer di ladang terbabit.

"Jarak antara kandang lembu dengan ladang itu sekitar enam kilometer dan difahamkan pemilik lembu mempunyai sebanyak 160 lembu yang diternak di kawasan tersebut.

"Polis menganggarkan kerugian yang dialami pemilik ternakan itu sekitar RM80,000 dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan," katanya.

Osman berkata, permohonan laporan bedah siasat dari JPV juga akan dibuat dalam masa terdekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Seorang penternak lembu mengalami kerugian kira-kira RM160,000 selepas 40 lembu miliknya mati secara tiba-tiba di kawasan Sungai Rotan, Trong, semalam.

Penternak itu, S Thangaraj, 36, dilaporkan berkata, kejadian itu disedari pekerjanya kira-kira 5.30 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 10:02 PM