LEMBU diletakkan di tepi jalan utama di Kampung Temai, Pekan, berikutan banjir. FOTO MOHD RAFI MAMAT
LEMBU diletakkan di tepi jalan utama di Kampung Temai, Pekan, berikutan banjir. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sedang mencari jalan cara terbaik membantu penternak di daerah ini yang berhadapan masalah menempatkan ternakan mereka berikutan banjir.

Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, banyak kawasan tinggi termasuk ladang kelapa sawit tempat ternakan berkeliaran kini ditenggelami banjir.

Katanya, rekod JPV daerah Pekan mendapati terdapat lebih 3,000 ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing di beberapa kampung kini terpaksa ditempatkan di tepi jalan utama sejak beberapa hari lalu.

"Penternak kini tiada pilihan apabila terpaksa meletakkan haiwan ternakan mereka di tepi jalan utama selepas kawasan seperti dalam ladang kelapa sawit ditenggelami banjir.

"Terdapat 200 penternak di daerah ini yang memiliki lembu, kerbau dan kambing berskala kecil serta sederhana," katanya selepas meninjau ternakan di Kampung Temai, di sini semalam.

Turut sama Pengarah JPV Pahang, Dr Kamaliah Ghazali.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius masalah dihadapi penternak dan JPV sedang memikirkan cara terbaik untuk membantu penternak yang kini terpaksa meletakkan haiwan di tepi jalan utama.

Menurutnya, di Jalan Pekan-Batu Balik terutama di kawasan Kampung Temai dan beberapa kampung lain, lembu dan kambing banyak terdapat di tepi jalan sejak beberapa lalu selepas banjir melanda daerah ini.

Katanya, ada yang berada dalam pagar dan diikat, tidak kurang dibiarkan bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 9:02 AM