ZURAIDA Kamaruddin. FOTO arkib NSTP
ZURAIDA Kamaruddin. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berpandangan tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) mendakwa Sime Darby Plantation (SDP) terbabit dalam kegiatan buruh paksa adalah bersifat terburu-buru serta tidak berasas.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, SDP sedang menyusun laporan bebas yang komprehensif dan bakal diserahkan kepada negara berkenaan dalam masa terdekat.

Menurutnya, kementerian juga akan mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu ini daripada agensi di AS bagi mencapai jalan penyelesaian segera.

Katanya, KPPK akan bekerjasama dengan Wisma Putra dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"KPPK akan memperluas kerjasama sepenuhnya dengan agensi di AS dan negara lain supaya minyak sawit keluaran negara boleh didagangkan secara bebas di peringkat global," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Media sebelum ini melaporkan CBP menurunkan taraf tindakan terhadap SDP daripada Perintah Pelepasan Penahanan Withhold Release Order (WRO) kepada Penemuan (Finding).

Di bawah WRO, produk SDP masih boleh mendarat di AS namun tidak dibenar didagangkan atau diproses dan sebarang produk yang ditemui akan dirampas.

Zuraida berkata, kementerian menghargai kelonggaran diberikan oleh CBP kepada SDP untuk menghasilkan laporan audit bebas bagi menyangkal dakwaan itu.

Menurutnya, beliau secara tegas mengulangi bahawa industri minyak sawit Malaysia beroperasi di bawah piawaian ketat selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, kementerian juga bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi memastikan industri minyak sawit negara mematuhi undang-undang dan amalan domestik serta antarabangsa seperti ditetapkan.

"Saya yakin dengan usaha berterusan KPPK dan semua agensi berkaitan isu ini akan dapat diselesaikan segera.

"Kementerian akan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu jutaan pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan lain."

"Kementerian juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha menangani propaganda anti minyak sawit oleh negara-negara Barat yang dengan jelas bertujuan menjatuhkan industri minyak sawit negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 1:30 PM