TINJAUAN aliran trafik menunjukkan peningkatan bilangan kenderaan dari arah utara ke selatan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
TINJAUAN aliran trafik menunjukkan peningkatan bilangan kenderaan dari arah utara ke selatan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Kebanyakan lebuh raya utama di seluruh negara merekodkan peningkatan kenderaan serta kesesakan berikutan orang ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina minggu depan.

Susulan itu, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di kedua-dua hala merekodkan jumlah kenderaan yang tinggi.

Beberapa kawasan di sepanjang lebuh raya berkenaan mengalami kesesakan yang teruk termasuk di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang menyediakan kemudahan untuk pengguna lebuh raya.

Kawasan Plaza Tol Gombak turut mengalami keadaan sama apabila pertambahan kenderaan direkodkan sejak semalam dan mungkin akan berlarutan sehingga kemuncak cuti perayaan iaitu pada Isnin nanti.

Beberapa pengguna lebuh raya turut membuat ciapan di platform Twitter berhubung kesesakan yang berlaku di kebanyakan lebuh raya seluruh negara.

Pada masa sama, PLUS Malaysia sudah menjangkakan pertambahan trafik yang meningkat daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan.

Pihak PLUS Malaysia sudah menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk pelanggan yang menggunakan lebuh raya PLUS antara 28 Januari hingga 6 Februari sebagai rujukan dan panduan dalam merancang perjalanan mereka.

Untuk mendepani segala kemungkinan, PLUS Malaysia sudah menempatkan 5,000 kakitangan dalam kalangan petugas lebuh raya untuk bersedia di sepanjang lebuh raya kendaliannya selain mengingatkan kepada pengguna supaya memastikan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 3:16 PM