SULTAN Sharafuddin menerima menghadap Timbalan Mufti Selangor yang baharu, Prof Madya Dr Miszairi Sitiris di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. FOTO Ihsan FB Selangor Royal Office.
SULTAN Sharafuddin menerima menghadap Timbalan Mufti Selangor yang baharu, Prof Madya Dr Miszairi Sitiris di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. FOTO Ihsan FB Selangor Royal Office.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menasihatkan seluruh umat Islam tidak pulang ke kampung atau keluar dari daerah masing-masing menjelang sambutan Aidiladha minggu hadapan.

Menurut kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Selangor Royal Office hari ini, ia berikutan kes sporadik Covid-19 dalam komuniti ketika ini semakin tinggi.

Justeru itu, baginda tidak mahu jangkitan Covid-19 terus merebak seperti yang berlaku ketika sambutan Aidilfitri lalu.

"Baginda juga meminta rakyat supaya berkorban kerana keadaan wabak Covid-19 masih meruncing, dengan jumlah kes baharu di Selangor yang melebihi 4,000 kes sehari dan jumlah kematian keseluruhan yang kini mencecah 2,063 orang," menurut kenyataan itu.

Sultan Sharafuddin turut menggesa pihak bertanggungjawab ke atas pengagihan vaksin ke seluruh negara supaya menambah jumlah pemberian vaksin di Selangor dengan kadar segera.

"Usaha ini perlu dilaksanakan agar nisbah peratusannya selari dengan jumlah populasi dan jumlah kadar jangkitan wabak di Selangor.

"Titah baginda lagi, memandangkan terdapat banyak kilang dan perindustrian di Selangor, jadi pemberian vaksin kepada pekerja kilang harus disegerakan, sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok," menurut kenyataan itu.

Baginda bertitah demikian ketika menerima menghadap Timbalan Mufti Selangor yang baharu, Profesor Madya Dr Miszairi Sitiris di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini.

Miszairi melaporkan diri di Jabatan Mufti Negeri Selangor untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Mufti Selangor pada 1 Julai lalu.

Pada pertemuan ringkas itu, baginda turut menzahirkan kebimbangan mengenai penularan wabak berbahaya Covid-19 khususnya di kalangan umat Islam di Negeri Selangor ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 7:18 PM