AHMAD Safwan Hanim ditemukan  lemas di Lata Cangkah, Kampung Hulu Seladang di sini, petang semalam. FOTO pembaca
AHMAD Safwan Hanim ditemukan lemas di Lata Cangkah, Kampung Hulu Seladang di sini, petang semalam. FOTO pembaca
Nurul Fatihah Sulaini


Permaisuri: Kegembiraan sembilan sahabat berkelah di Lata Cangkah, Kampung Hulu Seladang, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 2.50 petang memaklumkan kejadian lemas di kawasan perkelahan itu.

Menurutnya, mangsa yang ditemukan lemas dikenali sebagai Ahmad Safwan Hanim Mohd Fahimi, 24, yang juga Penolong Pengurus Teknikal Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFC).

"Siasatan awal mendapati mangsa bersama lapan rakannya (lima lelaki dan tiga perempuan) sampai di Lata Cangkah pada 12 tengah hari untuk mandi dan berkelah.

"Mangsa bersama lima rakan lelakinya kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Hulu Seladang dan kembali ke tempat perkelahan itu pada 2.20 petang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa dikatakan mandi seorang diri di kawasan jeram, manakala rakan-rakan yang lain masih makan tengah hari kira-kira 2.45 petang.

"Salah seorang rakan mangsa yang sedang makan tersedar mangsa tidak kelihatan di permukaan air lalu mereka berusaha mencarinya di kawasan jeram.

"Bagaimanapun, mangsa berjaya ditemui lalu dibawa naik ke darat dalam keadaan tidak sedar dan kemudian dibawa ke Hospital Setiu," katanya.

Katanya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika dalam perjalanan ke hospital.

"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 1:30 PM