USAHA menyelamatkan pelajar selepas mereka terperangkap insiden kepala air di Lata Hulu Kekabu, di sini, petang tadi. Foto IHSAN BOMBA
USAHA menyelamatkan pelajar selepas mereka terperangkap insiden kepala air di Lata Hulu Kekabu, di sini, petang tadi. Foto IHSAN BOMBA
Faizul Azlan Razak


Setiu: Sembilan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Hulu Kekabu, di sini, petang tadi.

Difahamkan, sekumpulan penuntut jurusan akauntan berusia antara 23 hingga 24 tahun itu pergi ke kawasan perkelahan untuk berkelah kira-kira jam 2 petang sebelum dikejutkan dengan kepala air dan arus laju.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 5 petang memaklumkan terdapat sembilan mangsa terperangkap akibat kepala air di kawasan perkelahan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya yang tiba di kawasan berkenaan 30 minit kemudian mendapati semua mangsa masih terperangkap di bahagian seberang sungai di kawasan yang biasanya menjadi tempat pengunjung mandi.

"Operasi menyelamat kesemua mangsa segera dijalankan dengan bantuan bomba dan kesemua mereka berjaya dibawa keluar pada jam 7 petang.

"Semua mangsa terbabit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di hospital," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu Mohd Razli Rapaie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.11 petang.

Menurutnya, seorang pegawai dan seramai 26 anggota BBP Setiu dikerah ke tempat kejadian misi menyelamat.

"Setibanya di lokasi, misi menyelamat sembilan penuntut itu berjaya diselamatkan oleh anggota dengan menggunakan jaket keselamatan dan tali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 10:51 PM