Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang, hari ini menafikan khabar angin beliau bakal mengisytiharkan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas.

Mazlan yang juga Adun Puteri Wangsa berkata, sejak sekian lama namanya terpalit dengan pelbagai khabar angin, namun tidak mengendahkannya.

"Setakat hari ini, saya masih ahli Bersatu dan Ketua Bahagian Bersatu Tebrau.

"Khabar angin memang macam-macam. Saya boleh jadi apa sahaja dalam khabar angin itu.

"Politik ini kita tidak tahu apa akan jadi akan datang. Hari ini jadi kawan, esok jadi musuh, yang musuh boleh jadi kawan.

"Dalam perlembagaan kita ada hak kebebasan untuk sertai apa jua parti selagi tiada perubahan dari segi undang-undang, kita bebas untuk sertai apa jua parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup Festival Permainan Tradisional Negeri Johor, di sini, hari ini.

Desas desus Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, yang didakwa bakal mengisytiharkan dirinya sebagai Adun Bebas, semakin hangat diperkatakan, kebelakangan ini.

Langkah itu didakwa bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Mazlan turut menolak khabar angin PRN Johor akan diadakan dalam masa terdekat.

"Setakat ini saya rasa tidak akan berlaku PRN dalam masa terdekat walaupun khabar angin PRN sudah lama.

"Kita di Johor walau ada satu majoriti, keadaannya amat stabil kecuali ada hal luar jangkaan berlaku.

"Namun setakat ini dari segi keakraban dan juga perkongsian kuasa dari parti politik yang ada dalam kerajaan, kita tiada masalah untuk kekalkan kerajaan negeri.

"Apa yang baik di Johor ini kita dapat kerjasama yang baik dari pembangkang apatah lagi kita masih dalam pandemik Covid-19," katanya.

Mazlan berkata, bencana banjir yang masih menjejaskan beberapa daerah di Johor juga tidak memungkinkan PRN diadakan dalam masa terdekat.

"Ini kerana sekolah di Johor yang akan dijadikan pusat mengundi masih ada yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS). Tak mungkin PRN dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 2:42 PM