Hoo (tiga dari kiri) menunjukkan senapang angin yang dirampas polis dalam op tapis khas sekitar Jempol pada sidang media di IPD Jempol. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Hoo (tiga dari kiri) menunjukkan senapang angin yang dirampas polis dalam op tapis khas sekitar Jempol pada sidang media di IPD Jempol. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Hasilkan senapang angin selepas belajar di Youtube dan menggunakan senjata api berkenaan untuk memburu ayam hutan sejak enam bulan lalu.

Tindakan seorang lelaki berusia 30 tahun itu bagaimanapun mengundang padah buat dirinya apabila dia ditahan polis dalam serbuan di rumahnya di Felda Serting Hilir Enam, pada jam 11.40 malam, 22 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek yang ditahan mendakwa menggunakan senapang angin itu untuk memburu ayam hutan dan belajar membuatnya di Youtube.

"Suspek menggunakan barangan terpakai seperti batang besi pam racun, kayu dan pam tayar bagi membuat senapang angin berkenaan dan menggunakan bebola besi sebagai peluru.

"27 biji bebola besi turut dirampas dan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, di sini, hari ini.

Katanya, suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1950.

Pada sidang media sama, Hoo berkata, dalam op sama, polis turut menangkap dua lelaki berusia 43 tahun dipercayai membuat senapang patah sendiri.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan pada 21 Januari jam 3 pagi di pondok wakaf Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 9,10 dan 11.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mengaku senapang patah berkenaan adalah milik mereka sebaliknya mendakwa milik seorang lelaki lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 6:39 PM