Senapang angin buatan sendiri yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Jerangau.  FOTO IHSAN POLIS
Senapang angin buatan sendiri yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Jerangau. FOTO IHSAN POLIS
Zatul Iffah Zolkiply


Dungun: Polis menahan lelaki bersama selaras senapang angin buatan sendiri yang didakwa digunakan untuk menembak ayam hutan di sebuah rumah di Jerangau, di sini, semalam.

Selain menahan suspek berusia 24 tahun, polis turut merampas 22 biji bebola besi dan satu tong gas penghawa dingin yang diubahsuai dalam serbuan kira-kira 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota hasil maklumat yang diterima.

Katanya, sebaik tiba di rumah berkenaan, anggota polis memperkenalkan diri kepada lelaki berusia 51 tahun yang juga bapa suspek sebelum melakukan pemeriksaan.

"Ketika pemeriksaan di salah sebuah bilik, suspek sedang memegang selaras senapang angin sebelum anggota polis bertindak menahannya dan merampas senjata berkenaan.

"Hasil pemeriksaan terhadap badan suspek menemui beg di pinggangnya mengandungi satu bekas plastik berisi 22 biji bebola besi.

"Kita turut merampas satu tong gas penghawa dingin yang diubahsuai di bawah katil di dalam bilik suspek," katanya.

Baharudin berkata, hasil soal siasat suspek mengaku senapang angin yang dirampas itu adalah buatannya sendiri.

Katanya, suspek mengaku belajar membuat senjata itu menerusi YouTube kira-kira seminggu lalu untuk memburu ayam hutan di kawasan Felda Jerangau dengan kali terakhir ia digunakan, Jumaat lalu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan suspek ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 3:11 PM