Orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Tun Dr Samy Vellu yang meninggal dunia di kediamannya di Sentul, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Tun Dr Samy Vellu yang meninggal dunia di kediamannya di Sentul, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemergian bekas Presiden MIC Tun S. Samy Vellu yang meninggal dunia pagi ini, meraih ucapan takziah para pemimpin serta kenalan dan rata-rata mereka turut berkongsi kenangan bersama mendiang.

Bekas setiausaha Samy Vellu Datuk E.Sivabalan berkata walaupun mendiang yang digelar "Man of Steel" dan 'bapa' lebuh raya Malaysia itu sudah tiada, legasinya hidup sehingga kini.

Sivabalan yang berkhidmat dengan Samy Vellu selama 34 tahun dalam pelbagai kapasiti termasuk sebagai pegawai khas di ibu pejabat MIC pada 1988 dan Setiausaha Peribadi Kanan dari 2010 hingga 2018 iaitu ketika Samy Vellu bertugas sebagai Utusan Khas berpangkat menteri ke India dan Asia Selatan, berkongsi pengalamannya.

"Dalam satu mesyuarat Kabinet, Samy Vellu memohon peruntukan tambahan daripada perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk pembangunan komuniti India. Pada mulanya ketika permohonan itu ditolak, Tun Samy Vellu bangun daripada kerusinya dan bergegas ke bilik air.

"Tun Mahathir terpaksa meminta mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik (Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi ketika itu) untuk memujuk Samy Vellu dan membawa beliau kembali dan akhirnya Samy Vellu berjaya mendapatkan apa yang diingininya daripada Tun Mahathir. Itu adalah strateginya untuk membantu komunitinya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya kira-kira 7 pagi pada usia 86 tahun.

Sementara itu, Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata sumbangan Sami Vellu yang amat besar kepada parti itu, masyarakat dan negara akan sentiasa dikenang.

"Bagi kami, Tun bukan hanya seorang Presiden. Beliau umpama seorang bapa yang membimbing, melatih dan menjadikan kami seperti hari ini. Tun akan dirindui oleh mereka yang mengenalinya, legasinya dan memori bersama beliau terus berkekalan. Terima kasih, Tun," katanya.

Bekas Presiden MIC Tan Sri Dr S. Subramaniam menerusi Facebook berkata sumbangan Samy Vellu kepada negara dan komuniti India akan terpahat dalam memori, manakala Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti AIMST dan Kolej Tafe adalah sumbangannya yang teguh berdiri hingga kini.

"Bagi kami, beliau adalah mentor. Beliau telah menjalani kehidupan yang bermakna dan berjaya dan kini beliau pergi diiringi rasa hormat dan penghargaan yang mendalam," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M.Kula Segaran menyifatkan Sami Vellu sebagai seorang pejuang.

"Meskipun berlaku perselisihan pendapat, beliau seorang sahabat yang baik. Kami banyak berdebat termasuk tentang Tabung Buruh India Selatan," katanya menerusi Twitter.

Bekas Presiden Hindu Sangam Malaysia (MHS) Datuk A.Vaithilingam berkata untuk tiga dekad, bekas presiden MIC itu telah berjuang mengenai isu membawa masuk sami berkelayakan untuk mengisi kekurangan sami di kuil Hindu.

"Beliau bekerjasama erat dengan MHS bagi mendapatkan permit daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk membina atau mengubah suai kuil. Hubungan antara MIC dan MHS sangat telus dan berterus-terang dalam mencari bantuan ketika itu," katanya.

Sementara itu, presiden MCA Wee Ka Siong menyifatkan pemergian Samy Vellu sebagai suatu kehilangan kepada rakyat Malaysia dan negara.

Samy Vellu, yang juga presiden MIC dari 1981 hingga 2010, merupakan antara pemimpin paling lama berkhidmat dalam Kabinet. Beliau adalah anggota Kabinet untuk tiga dekad bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 6:10 PM