Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Beberapa laluan menuju ke Jalan Bangsar, di sini, dilencongkan susulan penganjuran perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dikatakan ditukar ke lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu, jam 11 malam tadi.

"Kami mengesan hantaran yang tular di media sosial bahawa terdapat beberapa individu dan pihak akan menganjurkan perhimpunan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, jam 11 pagi ini.

"Justeru itu, pihak polis akan membuat lencongan jalan membabitkan Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers menuju ke Jalan Bangsar, Jalan Rakyat menuju ke Jalan Bangsar dan Jalan Maarof menuju ke Jalan Bangsar.

"Semua laluan itu dilencongkan bermula 7 pagi ini hingga selesai (perhimpunan) berkenaan," katanya dalam kenyataan, awal pagi tadi.

Amihizam berkata, selain lencongan jalan, pihak pengoperasian stesen LRT, Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan KTM juga akan membuat penghentian sementara operasi bagi beberapa stesen utama di sekitar ibu kota ini seperti diumumkan dalam siaran media, semalam.

"Penghentian sementara operasi semua stesen berkenaan juga akan bermula jam 7 pagi ini sehingga selesai," katanya.

Beliau berkata, perhimpunan itu jelas melanggar undang-undang Peraturan 9 (Larangan Berarak) dan Peraturan 10 (Kawalan Berhimpun) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

"Polis tidak menerima sebarang pemberitahuan perhimpunan dari mana-mana individu atau pihak seperti yang digariskan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 di mana pihak penganjur perlu memaklumkan kepada kami.

"Kami menasihati orang ramai supaya tidak menyertai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi menjaga keselamatan, ketenteraman awam serta kesihatan umum.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang dikesan masih berdegil menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan dan akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang urusan di ibu kota ini terutama di kawasan stesen LRT Bangsar dan sekitarnya supaya merancang perjalanan dan urusan masing-masing khususnya membabitkan laluan serta masa.

Terdahulu, perhimpunan #TangkapAzamBaki dijadualkan berlangsung di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini, namun penganjur pada malam tadi dikatakan menukar lokasi ke stesen LRT Bangsar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 8:21 AM