Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Dua lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemburuan haram di kawasan hutan di Jalan Batu 16, Jalan Kota Tinggi-Mersing di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kedua-dua suspek diberkas pada jam 11.30 malam itu membabitkan lelaki tempatan dan warga asing berusia 33 dan 44 tahun.

"Polis dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Kota Tinggi melakukan satu Op Khazanah selepas menerima maklumat berhubung aktiviti pemburu haram di kawasan hutan berkenaan.

"Hasilnya kita memberkas seorang lelaki tempatan dan seorang warga asing selain merampas selaras senapang patah, lapan butir peluru penabur, klip besi dan batang besi berukuran 12 sentimeter," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

ANTARA barang rampasan yang digunakan suspek ketika memburu binatang liar. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ANTARA barang rampasan yang digunakan suspek ketika memburu binatang liar. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, hasil pemeriksaan ke atas laras senapang itu mendapati tiada nombor siri atau jenama buatan.

Katanya, senapang itu disyaki dibuat sendiri suspek selain mereka tidak memiliki lesen berburu.

"Mereka disyaki aktif melakukan kegiatan memburu binatang liar sejak dua tahun lalu dan mensasarkan haiwan liar seperti landak, ular sawa dan babi hutan," katanya

Katanya, suspek tempatan ditahan reman empat hari manakala warga asing ditahan 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 3:08 PM