PENDUDUK menyeberangi Sungai Nenggiri menggunakan empat titi menghubungkan jambatan runtuh di Kampung Pulau Setelu, Gua Musang.
PENDUDUK menyeberangi Sungai Nenggiri menggunakan empat titi menghubungkan jambatan runtuh di Kampung Pulau Setelu, Gua Musang.

Gua Musang: Bagi memastikan kehidupan harian mereka tidak terjejas disebabkan kerosakan infrastruktur, penduduk Kampung Pulau Setelu dan Kampung Star, di sini, membina sendiri titi untuk menyeberangi Sungai Nenggiri.

Titi itu dibina menggunakan kayu dan buluh sebagai penyambung kepada jambatan sementara Kampung Pulau Setelu yang runtuh ketika banjir, Januari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Ab Ghani berkata, sebanyak empat jejantas dibina penduduk kampung yang siap beberapa hari lalu.

“Ia adalah laluan pejalan kaki yang menyambungkan bahagian jambatan sementara yang runtuh. Ini hanyalah bersifat sementara saja.

“Malah, ia hanya akan digunakan ketika musim kemarau. Apabila hujan, kita tidak galakkan penduduk menggunakannya kerana dibimbangi risiko tenggelam.

“Inisiatif penduduk ini dipuji kerana membantu memudahkan pergerakan keluar masuk penduduk terutama untuk anak-anak yang ke sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sejak jambatan sementara yang menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli itu runtuh sebulan lalu, penduduk kampung terpaksa menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Gua Musang-Sungai Sam, Dabong untuk ke Jeli.

Sementara itu, perkhidmatan bot kembali aktif di sungai itu untuk kegunaan penduduk kampung ke seberang dan turut mendapat perhatian Pertubuhan Gabungan Bencana Badan Bukan Kerajaan (PGBNGO).

Pertubuhan itu menyumbangkan sebuah bot untuk kemudahan menghantar murid berulang alik ke sekolah setiap hari.

Pengerusi PGBNGO Prof Dr Dinsuhaimi Sidek berkata, bot berharga RM6,000 itu mampu memuatkan 20 orang untuk perjalanan sehala.

“Kita membantu dengan menyediakan kemudahan bot ini yang selesa ini sementara menunggu jambatan sementara siap dibaiki.

“Mempunyai bumbung dan enjin, diharapkan bot ini akan memberi keselesaan kepada mereka,” katanya yang menyerahkan bot terbabit kepada Imam Muda Masjid Kampung Pulau Setelu, Azmi Mohamad di jeti kampung itu, kelmarin.

Murid yang terbabit bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Jerek dan Sekolah Kebangsaan (SK) Star.

Azmi berkata, sebelum ini, mereka menggunakan khidmat bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain milik penduduk kampung untuk berulang alik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 5:28 AM