FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Industri padi dan beras di Sabah merosot ke paras terendah sejak 1980-an dengan tahap sara diri hanya mencapai 22.81 peratus pada 2020.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, kadar itu bersamaan pengeluaran 74,000 tan metrik beras berbanding keperluan sebenar yang mencecah 400,000 tan metrik.

Berikutan itu, katanya Sabah terpaksa mengimport kira-kira 320,000 tan metrik beras bagi memenuhi keperluan penduduk negeri ini.

"Padi adalah tanaman ruji di Sabah tetapi pada 2020 tahap sara diri pengeluaran beras jatuh ke paras terendah 22.81 peratus, satu angka yang tidak pernah kita lihat sejak 1980-an.

"Kita terpaksa mengimport sehingga mencapai rekod 320,000 tan metrik beras bagi memenuhi keperluan kerana Sabah hanya mampu mengeluarkan 74,000 tan metrik beras," katanya.

Beliau berkata demikian ketika pembentangan khas Mentransformasi dan Memodenkan Pertanian Sabah Kepada Sebuah Rumah Kuasa Serantau pada hari kedua Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa Sabah (SIBES), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata bagi mengubah situasi itu dan untuk memastikan pengurusan industri padi dan beras yang lebih baik, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan Lembaga Padi Sabah.

Katanya, lembaga berkenaan akan mengawal selia dan merancang pembangunan serta penambahbaikan industri untuk mencapai sasaran tahap sara diri 60 peratus berbanding 22.81 peratus ketika ini.

Terdahulu, Jeffrey berkata industri pertanian di Sabah berdepan pelbagai isu dan cabaran yang menghalang pembangunannya, termasuk kekurangan pelabur dan pemain industri selain kurang promosi ke arah menjadikannya penyumbang terbesar ekonomi.

Beliau berkata, pendekatan 'urusan seperti biasa' diamalkan pemimpin dan penjawat awam, selain isu tanah, bekalan elektrik dan air, pandemik Covid-19, kekurangan buruh juga antara masalah dihadapi dalam membangunkan sektor pertanian di Sabah.

Bagaimanapun, katanya Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah mula menerima banyak cadangan pelaburan dalam tempoh 12 bulan lalu yang diharap dapat dikukuhkan lagi selepas ini.

Beliau berkata, Sabah mempunyai banyak peluang pelaburan ke arah menjadikan Sabah sebagai Rumah Kuasa Serantau bagi produk makanan laut dan hasil marin, sarang burung, buah-buahan tempatan, produk minyak sawit, herba eksotik, sayuran dan bunga serta agro pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 2:18 PM