ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Dakwaan seorang individu terhadap kelayakan pendidikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob termasuk menggunakan kroni untuk masuk ke Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya (UM), disifatkan berniat jahat.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Ismail Sabri mendaftar di Fakulti Undang-undang di UM berdasarkan meritnya kerana keputusan STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) yang baik, bukan kerana mempunyai 'kabel' atau kroni.

"Fakta dinyatakan Andrew Peris (pemilik akaun facebook) itu tidak betul. Ada moleknya saya ceritakan dari awal sejarah persekolahan Ismail Sabri Yaakob.

"Beliau asalnya bersekolah rendah Melayu di Sekolah Kampung Bangau, Temerloh, Pahang. Selepas darjah Enam, Ismail Sabri masuk ke sekolah berasrama iaitu Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan.

"Murid dipilih bersekolah di sekolah berasrama biasanya murid pandai. Ismail Sabri yang berasal dari sekolah rendah aliran Melayu terpaksa melalui kelas peralihan atau 'remove class' apabila di sekolah menengah.

"Dari kelas peralihan, Ismail Sabri terus melompat ke Tingkatan Dua. Beliau tidak ke Tingkatan Satu. Murid yang dibenarkan melompat dari Kelas Peralihan terus ke Tingkatan Dua tentunya bukan murid lembam dan bodoh.

"Ismail Sabri lulus peperiksaan LCE (Lower Certificate Examination atau Sijil Rendah Pelajaran) aliran sekolah Inggeris. Beliau naik ke Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Teknik, Kuantan. Bukannya ke 'vocational school' seperti yang ditulis Andrew Peris.

"Ada perbezaan antara sekolah vokasional dengan Sekolah Menengah Teknik," katanya dalam catatan di Facebook (FB) miliknya.

Hassan berkata, dia secara peribadi mengenali bapa Ismail Sabri yang disifatkannya sebagai orang biasa yang bekerja sebagai penoreh getah.

Menurutnya, jika tidak mengendahkan dakwaan mengenai Ismail Sabri, beliau akan gagal kerana membenarkan fakta palsu yang boleh mencemarkan latar belakang akademik Perdana Menteri.

"Walaupun menjadi ahli Parlimen pembangkang dan duduk di pihak lawan dari segi politik, namun kami bukan musuh. Tetapi hanya seteru politik.

"Malah kritikan saya sebagai seorang ahli Parlimen pembangkang terhadap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri lebih tajam dan lantang, kadang-kadang tanpa belas kasihan, tetapi itu tidak ada kena mengena dengan peribadi," katanya.

Terdahulu, tular mesej pemilik akaun FB menggunakan nama Andrew Peris mendakwa keputusan SRP Ismail Sabri adalah lemah menyebabkan beliau memasuki sekolah vokasional di tingkatan empat.

Seterusnya, Andrew Peris mendakwa Ismail Sabri gagal Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) dan pergi ke sekolah swasta untuk mengambil semula peperiksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 5:11 PM