ISMAIL Sabri menyampaikan replika kunci rumah kepada anggota tentera sambil diperhatikan Hishammuddin (dua dari kanan) dan  Hasni (dua dari kiri) ketika majlis perasmian RKMAT di Kem  Segamat.
ISMAIL Sabri menyampaikan replika kunci rumah kepada anggota tentera sambil diperhatikan Hishammuddin (dua dari kanan) dan Hasni (dua dari kiri) ketika majlis perasmian RKMAT di Kem Segamat.
RKMAT di Kem  Segamat. - Gambar NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
RKMAT di Kem Segamat. - Gambar NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Segamat: Kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga terus mendapat perhatian Kementerian Pertahanan bagi memastikan nasib mereka terbela.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha berkenaan termasuk menyediakan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) dalam perancangan utama Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurutnya, kerajaan melalui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sentiasa menekankan betapa penting agenda perumahan warga ATM kerana jasa perwira negara yang tidak terhitung.

"Oleh sebab itu Perdana Menteri menetapkan usaha menyediakan lebih banyak RKMAT sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) saya selaku Menteri Kanan Pertahanan.

"Alhamdulillah, dalam tempoh beberapa bulan ini sahaja beliau melihat sendiri 2,000 unit RKMAT di Taman LTAT Bukit Jalil November tahun lalu dan 305 unit RKMAT di Kem Segamat.

"Ini menggambarkan keseriusan kementerian memelihara moral dan semangat anggota melalui aspek kediaman bukan retorik dan hanya cantik di atas kertas. Sebaliknya RKMAT benar-benar dibina dan diserahkan kepada warga ATM mengikut perancangan," katanya pada Majlis Pelancaran RKMAT Kem Segamat membabitkan pasukan Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD) di sini, baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Perdana Menteri dan turut dihadiri Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Sebanyak 305 unit kediaman RKMAT pelbagai kelas dibina di Kem Segamat yang merangkumi 25 rumah pegawai dan 280 unit bagi anggota lain-lain pangkat.

Pembinaan itu dilaksanakan di atas tanah berkeluasan 20.125 ekar pada 2018 membabitkan peruntukan RM147.7 juta bagi menampung keperluan kediaman buat pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

Hishammuddin berkata, terdapat beberapa lagi RKMAT yang sudah siap pembinaannya dan bakal diduduki.

Kemudahan berkenaan katanya, termasuk 223 unit pelbagai kelas RKMAT Batalion Ke- 11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) Kem Semenggo yang diduduki pada 10 Mac tahun lalu, 20 unit pelbagai kelas RKMAT 30 Briged (30 Bgd) Kem Oran yang pembinaannya siap dan dilancarkan pada 21 Februari lalu serta 204 unit pelbagai kelas RKMAT 13 RAMD Kem Pakit yang selesai diambil alih lembaga pada 16 Februari lalu.

Selain itu katanya, terdapat 552 unit RKMAT membabitkan empat kem bakal siap tahun ini termasuk 78 unit di 20 RAMD Kem Miri, 65 unit di 6 RAMD Kem Tok Jalai, 135 unit di Batalion Kedua Rejimen Sempadan (2 RS) Kem Tumbi dan 274 unit di 34 RAD, Kem Bera.

Sementara itu, Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, Rancangan Pembinaan RKMAT Pelbagai Kelas di Kem Segamat dirancang oleh Kementerian Pertahanan pada 2018 membabitkan peruntukan RM147.7 juta.

"Insya-Allah selepas ini mereka (keluarga anggota tentera) dapat mendiami rumah mereka berbanding sebahagiannya tinggal menyewa di sekitar Batu Anam, Gemas dan Segamat, sebelumnya.

"Saya anggap ini sebahagian daripada antara langkah penting ke arah kesejahteraan keluarga tentera yang sangat selesa untuk didiami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 7:01 AM