ROSMAWATI membantu menguruskan proses pelupusan al-Quran di Pusat Pelupusan al-Quran Darul Kalam. FOTO Aziah Azmee
ROSMAWATI membantu menguruskan proses pelupusan al-Quran di Pusat Pelupusan al-Quran Darul Kalam. FOTO Aziah Azmee
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: "Ini hanya sumbangan tenaga saya yang sedikit ini untuk memelihara kesucian al-Quran. Apa yang saya lakukan ini adalah untuk agama dan masyarakat."

Itu kata sukarelawan, Rosmawati Mohd Kamal, 50, yang juga satu-satunya sukarelawan yang membantu menguruskan proses pelupusan al-Quran di Pusat Pelupusan al-Quran Darul Kalam di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah dekat sini.

Rosmawati membantu proses berkenaan apabila Darul Kalam menerima sejumlah besar al-Quran untuk dilupuskan susulan insiden banjir baru-baru ini.

Rosmawati berkata, selaku kitab suci, pengurusan pelupusan al-Quran perlu dilakukan dengan cermat.

"Saya ada mendengar Darul Kalam menerima jumlah al-Quran yang banyak akibat banjir sebelum saya menawarkan diri membantu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi proses pelupusannya.

"Mungkin ada yang menyangka proses pelupusan ini mudah namun ia tidak semudah yang disangka memandangkan al-Quran ini diterima dalam keadaan basah.

"Jadi, setiap helaiannya perlu dileraikan dan dijemur sehingga kering sebelum dibakar," katanya.

Menurut Rosmawati, dia menawarkan diri membantu secara sukarela kerana melihat pengurusan pelupusan berkenaan sebagai fardu kifayah.

"Alhamdulillah, buat masa ini, saya tidak bekerja, jadi kelapangan masa yang ada ini boleh disumbangkan menerusi kerja-kerja sukarelawan ini.

"Selain itu, saya juga dapat ilmu baharu tentang proses pelupusan al-Quran malah kitab suci ini tetap sentiasa dijaga kehormatannya biarpun sudah menjadi abu," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 4:42 PM