GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Seramai 25 orang individu yang menghadiri majlis keagamaan mencetuskan kluster baharu di Sabah iaitu Kluster Kayul.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata kluster terbabit telah dikenal pasti pihaknya di daerah Kuala Penyu.

"Kes indeks adalah lelaki tempatan berusia 62 tahun yang disahkan positif Covid-19 melalui ujian RTK Antigen pada 11 Januari selepas bergejala demam dan batuk sejak 5 Januari lalu.

"Hasil penelitian, kes indeks pernah mengadakan majlis keagamaan di kediamannya, Kampung Kayul dan dihadiri ahli keluarga dari Kampung Kebunau dan Kampung Gerowot selain kampung kes indeks.

"Susulan saringan kontak rapat, terdapat pertambahan kes yang terdiri daripada kontak serumah dan kontak sosial yang membabitkan majlis keagamaan tersebut.

"Jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 25 kes termasuk empat kes baharu yang dilaporkan hari ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal mencatatkan kes sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 265 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 244,004 kes.

"Tiga kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di daerah Ranau, Tawau dan Kota Belud.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 144 menjadikan jumlah kumulatif 236,335 orang.

"Manakala 738 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 395 orang di hospital, 335 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, tujuh (7) orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan seorang di fasiliti swasta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 10:36 PM