LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Shah Alam: Masyarakat diharap menghentikan penyebaran video mengenai seorang imam dan sekumpulan jemaah masjid di Selangor yang memandikan seorang remaja seperti 'jenazah' kerana cuba mencuri tabung masjid, dalam media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, penyebaran video itu tidak membawa sebarang kebaikan kepada kedua-dua pihak, malah mengundang kutukan daripada masyarakat dengan pelbagai komen negatif.

"Selain menjatuhkan maruah remaja terbabit, ia turut memberikan persepsi buruk tentang sikap pengurusan institusi masjid.

"Tindakan sewajarnya sudah diambil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selaku agensi kerajaan bertanggungjawab menguruskan institusi masjid di negeri itu sebaik sahaja mendapat maklumat betul mengenai perkara itu.

"Saya difahamkan imam terbabit mengambil tindakan meletakkan jawatan dan Jais sedang meneliti perkara ini untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat khasnya umat Islam di Selangor, supaya bertenang dan tidak mengambil pendekatan agresif dalam menangani apa-apa isu dan kes membabitkan institusi Islam.

"Biarlah pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka mengikut lunas undang-undang, manakala masyarakat setia membantu pihak berkuasa untuk menyempurnakan tugas dan bukannya mengambil alih tugas pihak berkuasa," katanya.

Media melaporkan seorang remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, semalam.

Video berdurasi satu minit 25 saat itu memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah serta dia dilumurkan dengan kapur barus selepas ditangkap kerana perbuatannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 9:51 PM