Laporan portal Harian Metro
Laporan portal Harian Metro
Yusmizal Dolah Aling


JABATAN Agama Islam Selangor (Jais) belum menerima laporan terperinci berhubung penyebaran dakyah agama lain seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan berhubung perkara itu dari mana-mana pihak atau orang awam.

Katanya, Jais sedang mengikuti rapat perkembangan yang berlaku, bagaimanapun setakat ini pihaknya belum menerima laporan terperinci berhubung perkara itu.

“Justeru Jais menasihatkan orang ramai yang melihat atau mengalami sendiri perbuatan pendakyahan agama bukan Islam kepada orang Islam membuat aduan kepada jabatan itu dengan menghubungi terus hotline Bahagian Penguatkuasaan Jais di talian 1800882424 untuk tindakan selanjutnya atau hadir (ke pejabat Jais) memberikan maklumat,” katanya kepada Harian Metro.

Minggu lalu tular di media sosial klip video berdurasi lima minit 21 saat memaparkan wanita warga asing berkenaan berada di beberapa lokasi dipercayai sekitar ibu kota dengan niat untuk menyebarkan agama Kristian.

Turut ditularkan ialah kegiatan seumpamanya yang dikatakan dijalankan di sebuah hospital di Selangor yang mengundang reaksi kurang senang masyarakat Islam.

Dalam reaksi segera Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) meminta pihak berwajib menyiasat klip video penyebaran dakyah agama lain seperti yang tular di media sosial.

Katanya, tindakan itu perlu bagi memastikan mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan kerana mencabar kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya juga tidak menerima laporan berhubung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 11:07 AM