GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Mamat
am@hmetro.com.my


Melaka: Dua lelaki dipercayai menjadi orang tengah kepada sindiket memuat turun sijil vaksinasi palsu dalam aplikasi MySejahtera diberkas, petang semalam.

Lelaki dikenali sebagai 'Vnilai' berusia 45 tahun bersama rakannya berusia 51 tahun, ditahan dalam operasi khas dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di dua kawasan berasingan di Nilai, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan sijil vaksinasi lengkap dua dos dalam aplikasi MySejahtera membabitkan tiga penjawat awam Melaka, semalam.

"Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek adalah orang tengah dan memperoleh habuan RM50 setiap seorang jika berjaya membawa individu tidak mahu divaksin untuk mendapatkan sijil vaksinasi lengkap dua dos dalam aplikasi MySejahtera.

"Ini (tangkapan itu) adalah kejayaan Polis Kontinjen Melaka dalam usaha mengesan lebih lanjut kes penipuan membabitkan vaksinasi Covid-19 khususnya di negeri ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Arshad dilaporkan berkata, polis menahan pasangan suami isteri berusia 38 dan 33 tahun yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan di negeri ini, kerana disyaki mempunyai sijil vaksinasi palsu dalam aplikasi MySejahtera.

Turut ditahan, seorang lelaki berusia 58 tahun yang bekerja di pejabat sama, dipercayai orang tengah untuk pasangan suami isteri itu memperoleh sijil lengkap dua dos vaksinasi palsu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 7:43 PM