1,900 sijil vaksinasi Covid-19 palsu yang dirampas polis. FOTO Arkib NSTP
1,900 sijil vaksinasi Covid-19 palsu yang dirampas polis. FOTO Arkib NSTP
Amir Mamat


Melaka: Sepasang suami isteri yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan di sini ditahan kerana disyaki mempunyai sijil vaksin palsu dalam aplikasi MySejahtera.

Turut ditahan, seorang lelaki berusia 58 tahun yang bekerja di pejabat sama, dipercayai orang tengah untuk pasangan suami isteri berkenaan memperoleh sijil lengkap dua dos vaksin palsu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata penipuan pasangan yang masing-masing berusia 38 dan 33 tahun itu dikesan selepas mereka mengemukakan sijil vaksin lengkap dua dos kepada ketua jabatannya sebagai syarat untuk menerima bonus tahunan.

"Aplikasi MySejahtera yang berstatus vaksin lengkap dua dos itu dicurigai palsu, menyebabkan pihak jabatan mengutus surat kepada Klinik Kesihatan Rembia untuk membuat semakan mengenai status vaksin pasangan berkenaan pada 31 Disember lalu.

"Maklum balas daripada klinik berkenaan pada 5 Januari lalu mengesahkan kedua-dua pasangan suami isteri itu tidak pernah menerima sebarang vaksin, sekali gus membuktikan mereka menipu pihak jabatan dalam memalsukan dokumen dalam aplikasi MySejahtera mengenai penerimaan vaksin lengkap dua dos," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Arshad berkata, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menahan pasangan suami isteri dan orang tengah berkenaan di sekitar negeri ini, Selasa lalu dan merampas telefon bimbit semua suspek.

Katanya, semua suspek ditahan reman tiga hari, berakhir hari ini.

"Dari siasatan awal kami, suami isteri mengaku membeli dan memuat turun sijil vaksin palsu melalui orang tengah dengan harga RM500 setiap seorang.

"Hasil soal siasat, orang tengah berkenaan mendapatkan muat turun aplikasi sijil vaksin lengkap dua dos palsu itu daripada seorang suspek yang masih bebas dikenali sebagai `Vnilai'.

"Polis masih memburu suspek keempat (Vnilai) dalam kes ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 5:29 PM