Datuk Ahmad Marzuk Shaary. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Datuk Ahmad Marzuk Shaary. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Trend 'unboxing isteri' atau membuka aib pasangan di media sosial boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga.

Demikian pandangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Menurutnya, trend berkenaan boleh membawa keruntuhan institusi keluarga apabila bakal ibu bapa sebagai tonggak institusi ini daripada awal lagi sudah tidak mengikut landasan nilai yang betul, apatah lagi memupuk nilai moral dalam kalangan anak.

"Masyarakat hari ini hidup di zaman bercampur baur antara perkara yang halal dan haram.

"Hal ini bukan perkara yang pelik melihat kepada bagaimana media sosial dioptimumkan sepenuhnya untuk mengumpul kekayaan melalui populariti dan ramainya jumlah 'follower' (pengikut).

"Sedikit sebanyak tempias ini turut menjejaskan nilai-nilai dalam sebuah institusi keluarga Islam. Pasangan suami isteri tidak lagi menghiraukan maruah, sehingga sanggup mendedahkan aib pasangan demi sebuah 'content' (kandungan)," katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran di Facebook (Fb), hari ini.

Marzuk berkata, memandang berat peranan keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil inisiatif memperkenalkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) Tahun 2019–2025.

Beliau berkata, pelan itu diperkenalkan bertujuan untuk menangani gejala sosial dalam kalangan orang Islam di negara ini.

"Antara langkah yang diperkenalkan pelan itu adalah penetapan agar setiap agensi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mestilah memanfaatkan dan mengoptimumkan penggunaan media massa serta media sosial bagi mempromosikan nilai murni dalam institusi kekeluargaan Islam.

"Perancangan di pihak kerajaan ini juga sangat memerlukan kepada kerjasama yang holistik daripada semua lapisan masyarakat bagi membendung gejala sosial yang melanda umat Islam pada hari ini.

"Justeru, selain daripada menjelaskan hukum Islam yang melarang trend "unboxing isteri" ini, saya menyeru agar semua pihak yang berperanan turut mengambil tindakan proaktif dengan mempromosi nilai keluarga Islam terutamanya di saluran media baharu yang ada," katanya.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah ketika dihubungi Harian Metro berkata, tindakan membuka aib pasangan adalah budaya yang tidak harus diamalkan.

"Ia satu tindakan yang boleh mencemarkan maruah pasangan dan gimik begitu boleh mempengaruhi pihak yang melihat ke arah perlakuan tidak baik," katanya.

Semalam, bekas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perbuatan 'unboxing isteri' adalah satu perbuatan yang jelas bertentangan dengan prinsip dan budaya Islam.

Menurutnya, suami sepatutnya melindungi dan memelihara ahli keluarga masing-masing daripada mendapat kemurkaan Allah di samping menyeru mereka untuk taat kepada perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

Baru-baru ini, tular di aplikasi TikTok mengenai trend 'unboxing' dalam kalangan pasangan pengantin baru.

Menerusi video yang tular, kelihatan pengantin lelaki membantu membukakan tudung pengantin perempuan dengan menanggalkan setiap aksesori yang terdapat pada bahagian kepala isteri mereka.

Dalam video itu, wanita terbabit masih memakai busana pengantin dan ia dirakam sendiri olehnya (pengantin perempuan) yang duduk di hadapan cermin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 4:16 PM