MENGADU masalah rumah tangga tidak semestinya menjaja aib pasangan.
MENGADU masalah rumah tangga tidak semestinya menjaja aib pasangan.
Nurul Husna Mahmud

Resam dalam kehidupan rumah tangga pastinya ada pertikaman lidah dan tidak persefahaman berpunca daripada pelbagai faktor.

Cuma tidak enaknya apabila konflik itu tidak menemui jalan penyelesaian dan membuatkan pasangan terutama si isteri memilih untuk memendam rasa.

Atas alasan tidak mahu menjaja keburukan pasangan dan aib suami yang menjadi tempat keredaan si isteri, akhirnya rasa marah, sedih serta tidak puas hati menjadi 'nanah 'menyebabkan hubungan itu berantakan.

Menjelaskan senario itu Kaunselor Perkahwinan Nur Aniza Anwar atau lebih mesra dengan Aniz, melihat rata-rata pasangan memilih untuk memendam rasa kurang puas hati atau masalah rumah tangga, berisiko untuk berlakunya perceraian.

"Isu hari ini kebanyakan perkahwinan gagal diselamatkan antara puncanya tidak mendapatkan bantuan yang diperlukan.

"Apabila si isteri sudah tawar hati dan tidak boleh lagi memaafkan pasangan, barulah mahu mendapatkan nasihat atau bantuan, pada saya tahap itu sudah terlewat.

"Wanita yang tidak pernah berkongsi cerita mengenai keburukan pasangan meskipun ada kala membabitkan kes serius termasuklah penderaan dan sebagainya.

"Mereka tidak mahu membuka aib rumah tangga sendiri akhirnya terbeban dan melihat perceraian satu-satunya penyelesaian untuk keluar daripada permasalahan itu, "katanya.

Tambah Aniz lagi, tindakan si isteri memendam keburukan suami itu juga dilihat hanya memudaratkan hubungan pasangan selain tidak memberi penyelesaian positif.

"Mengenai perbandingan menjaja keburukan pasangan dengan berkongsi masalah pada saya ada perbezaannya.

"Pengamatan peribadi saya, kalau si isteri mahu mengadu atau berkongsi masalah rumah tangga itu tidak semestinya menjaja tetapi lebih kepada 'meminta' bantuan.

"Saya merujuk salah seorang ulama pernah berkongsi pendirian mengenai perkahwinan bermasalah dan tindakan berdiam diri hanya mengundang masalah. Kata ulama terbabit perkahwinan itu sedang 'sakit' dan pasangan perlu dapat bantuan," katanya.

Justeru langkah terbaik, si isteri dalam menangani konflik dalaman itu seharusnya dimulakan dengan niat yang betul.

"'Nawaitu' kena jelas dan betulkan hala tuju niat untuk selamatkan rumah tangga.

"Itu sebaik-baiknya apabila berhasrat untuk mengadu masalah rumah tangga kepada pihak luar.

TREND  pasangan gemar berkongsi masalah di media sosial.
TREND pasangan gemar berkongsi masalah di media sosial.

"Pihak yang menjadi tempat buat si isteri mengadu juga perlulah ada kredibiliti dan kualiti. Bukannya memihak kepada sebelah pihak dan bersifat natural.

"Saya bimbang juga jika masalah dalaman rumah tangga diadu pada keluarga sendiri, ada ketika ahli keluarga itu rasa lebih rasa terganggu dan beremosi.

"Ini hanya menjadikan konflik rumah tangga semakin rumit untuk diselesaikan dan hanya membebankan pasangan terutama isteri," katanya.

Cabaran tambah getir apabila adanya platform media sosial menjadi pilihan untuk si isteri bercerita mengenai masalah rumah tangga.

"Ada segelintir menjadikan platform media sosial untuk meluahkan hal rumah tangga.

"Mungkin golongan ini tiada tempat mengadu atau bimbang aib rumah tangga mereka diketahui ahli keluarga atau kenalan.

"Bahagian baik atau bagus di sini ialah mereka boleh 'melepaskan' apa sahaja terbuku, tetapi penyelesaian tidak pasti sama ada memberi kebaikan kerana netizen atau individu memberi komen tidak semuanya boleh diterima," katanya.

Saranan beliau sebaiknya pasangan terutama isteri mendapatkan bantuan daripada saluran yang betul.

"Pasangan perlu ada ketikanya duduk berbincang dan selesai dengan komunikasi baik.

"Jika terlalu rumit, bertemulah dengan kaunselor perkahwinan untuk dapatkan sokongan supaya perkahwinan dapat diselamatkan," katanya.

Kata Aniz lagi, dalam sesi kaunseling biasanya klien dibantu cara pengurusan tekanan selain menyesuaikan diri (coping skill).

"Institusi keluarga mempunyai kaedah dan kalau Islam ada caranya bagi setiap pasangan meneliti kaedah terbaik sama ada rujuk atau berpisah lebih baik.

"Jika pasangan memutuskan untuk berbaik dan memperbaiki hubungan, kedua-duanya perlu saling memaafkan dan menjayakan peranan mereka.

"Saya sentiasa tekankan asas keluarga harmoni dan sejahtera selalunya bermula dengan aspek rohani kukuh supaya faktor lain juga diperkuatkan.

"Contohnya penjagaan solat dan doa, kedua-dua ini bagi setiap pasangan Islam adalah talian hayat," katanya.

KAUNSELING bantu kenalpasti masalah dan bantu pasangan tangani konflik dengan wajar.
KAUNSELING bantu kenalpasti masalah dan bantu pasangan tangani konflik dengan wajar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 6:00 AM