Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Aplikasi MySejahtera lebih 1,000 orang yang pernah mendapatkan perkhidmatan doktor klinik swasta yang terbabit dalam penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu di Marang sudah disekat.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, sekatan itu dibuat bagi membolehkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan siasatan terhadap aplikasi MySejahtera mereka bagi mengesahkan ketulenan status vaksinasi.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat kira-kira 1,900 orang mendapatkan perkhidmatan dengan klinik berkenaan dengan 1,223 permohonan sudah dihantar ke vendor untuk dikemas kini status sebagai penerima MySejahtera.

"Daripada jumlah itu, kita tidak pasti berapa ramai yang sudah siap atau dikemas kini MySejahtera mereka dan ia akan dimaklumkan pihak KKM kelak.

"Bagaimanapun, kesemua aplikasi MySejahtera yang berasal daripada klinik berkenaan sudah disekat oleh KKM.

"Dalam hal ini, ia tidak berfungsi dan kita sedang menunggu KKM menjalankan semakan sebelum tindakan selanjutnya diambil," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Rohaimi semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.  FOTO GHAZALI KORI
Rohaimi semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Rohaimi berkata, setakat ini, keterangan seramai 23 individu yang statusnya MySejahtera dikemas kini sebagai penerima vaksin tetapi tidak menerima suntikan sudah diambil.

Katanya, siasatan mendapati status sebagai penerima MySejahtera mereka adalah palsu.

"Siasatan juga mendapati ada antara mereka ini memaklumkan diajar kononnya ada mengambil suntikan tetapi sebenarnya adalah suntikan air suling atau garam.

"Apa yang boleh saya katakan setakat ini, kebanyakan mereka yang berurusan dengan klinik berkenaan tidak mengambil suntikan vaksin yang sebenarnya.

"Kalau ada pun, saya percaya jumlahnya tidak lebih daripada 10 orang kerana maklumat awal kita memang tidak ada," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Polis Terengganu membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (temu janji) vaksinasi.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang membawa penahanan doktor swasta yang juga suspek utama berusia 51 tahun pada 8 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 1:36 PM