GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Pihak industri bersetuju untuk menurunkan harga ayam di peringkat pengeluar atau peladang sekaligus membolehkan pengguna mendapatkan bahan mentah itu pada harga berpatutan.

Dalam satu kenyataan bersama oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, persetujuan itu dinyatakan dalam satu mesyuarat libat urus diadakan dua kementerian itu bersama pihak industri di seluruh negara semalam.

Katanya, kedua-dua kementerian itu juga bersetuju untuk meneliti beberapa cadangan daripada pihak industri berkaitan usaha menstabilkan harga ayam.

"Cadangan itu termasuklah pemberian kemudahan pinjaman mudah (soft-loan) bagi membantu industri mengekalkan jumlah pengeluaran ayam yang mencukupi dan menangani isu peningkatan kos pengeluaran ayam berikutan kenaikan harga komponen makanan ayam diimport.

"Selain daripada itu, kerajaan turut mempertimbangkan kawalan harga di semua peringkat disokong dengan pemberian subsidi kepada rantaian tertentu sebagai salah satu usaha menangani isu kenaikan harga ayam ini.

"Turut dicadangkan ialah untuk melaksanakan sistem permohonan permit (AP) bagi penjualan ayam, sekiranya usaha kerajaan untuk menangani isu harga ayam ini tidak mendapat kerjasama daripada peniaga di semua peringkat," katanya tadi.

Tambahnya, kedua-dua kementerian memantau rapi isu kenaikan harga ayam standard yang berlaku sejak September lalu sehingga pernah mencecah RM10 bagi setiap sekilogram yang dijual di peringkat runcit di beberapa kawasan seluruh negara.

"Berdasarkan data oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP, pada 13 September lalu, sejumlah 98 premis runcit (14.58 peratus) yang diperiksa menjual ayam standard pada harga melebihi RM10 sekilogram.

"Berikutan itu, KPDNHEP melaksanakan pendekatan baharu dengan mengadakan sesi libat urus secara terus dengan peniaga di lokaliti yang mengalami kenaikan harga ayam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 5:29 PM