Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, mengaplikasikan kaedah pembayaran tanpa tunai menerusi aplikasi kod QR ke arah mewujudkan kehidupan masyarakat digital.

Menurut Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bumiputera, Ahmad Nazri Che Omar, pada peringkat awal, pihaknya mensasarkan 400 peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai untuk urusan jual beli dengan pelanggan mereka.

Katanya, menerusi pembayaran menggunakan aplikasi kod QR, ia secara tidak langsung memberikan kemudahan pembayaran lebih fleksibel kepada orang ramai, sekali gus inisiatif ini menyokong ke arah membolehkan komuniti membuat pembayaran tanpa tunai.

"Dalam masa sama, kaedah pembayaran tanpa tunai ini dilihat semakin popular sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dan transaksi lebih selamat serta tidak ada sentuhan fizikal apabila pembeli membuat pembayaran hanya dengan mengimbas kod QR disediakan.

"Selain itu, pengguna tidak perlu menanggung risiko membawa wang tunai dalam jumlah banyak kerana pembayaran dapat dilakukan terus menerusi platform Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)," katanya kepada pemberita selepas Program Pembudayaan Pembayaran Norma Baharu Transformasi Digital Pasar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

WAN Rusmayaty (kiri) memberi penerangan kepada salah seorang peniaga mengenai kaedah pembayaran tanpa tunai menggunakan aplikasi kod QR. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
WAN Rusmayaty (kiri) memberi penerangan kepada salah seorang peniaga mengenai kaedah pembayaran tanpa tunai menggunakan aplikasi kod QR. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Hadir sama, Pengurus Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Cawangan Kota Bharu, Mohd Rizauddin Noor.

Ahmad Nazri berkata, pembayaran tanpa tunai itu adalah yang pertama kali diperkenalkan dalam kalangan peniaga pasar bagi membiasakan mereka berurusan dengan pelanggan menggunakan kemudahan digital.

Beliau berkata, pembayaran tanpa tunai ini di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) Kuala Terengganu dengan kerjasama agensi lain antaranya Bank Islam (M) Bhd Negeri Kelantan, Paynet dan kerajaan negeri membabitkan beberapa agensi seperti AKPK, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MKPB- BRI).

Katanya, turut terbabit Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kelantan Digital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 5:52 PM