SURI rumah (tengah, gambar kanan) dipindahkan dari Pulau Redang  menggunakan helikopter AW139 untuk mendapatkan rawatan di HSNZ. FOTO Baharom Bakar
SURI rumah (tengah, gambar kanan) dipindahkan dari Pulau Redang menggunakan helikopter AW139 untuk mendapatkan rawatan di HSNZ. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan penerbangan ihsan membawa seorang suri rumah dari Pulau Redang, dekat sini, yang mengalami keguguran ketika mengandung, hari ini.

Pengarah JBPM negeri Md Hilman Abd Rashid berkata, penerbangan ihsan memindahkan suri rumah berusia 35 tahun dari Pulau Redang itu menggunakan helikopter AW139, kira-kira 1 tengah hari ini.

Katanya, helikopter AW139 bersama lima anggota termasuk juruterbang Mohd Ruzaidi Ramlee berlepas daripada pangkalan udara JBPM Subang, kira-kira 12 tengah hari dan tiba di Pulau Redang, kira-kira 1 tengah hari.

"Kami difahamkan suri rumah berkenaan mengalami keguguran anak keempat sejak Sabtu lalu dan pelbagai usaha dilakukan Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) terutama klinik kesihatan Pulau Redang untuk membawanya ke tanah besar menggunakan bot.

"Bagaimanapun, usaha untuk membawa suri rumah menggunakan bot ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tidak dapat dilakukan berikutan laut bergelora dan angin kencang," katanya ketika dihubungi.

Md Hilman berkata, helikopter yang berlepas daripada Pulau Redang itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), kira-kira 2 petang dan suri rumah berkenaan dibawa ke HSNZ menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

"Turut mengiringi suri rumah itu adalah petugas kesihatan dari klinik kesihatan Pulau Redang," katanya.

Sementara itu, difahamkan selain mengalami keguguran kandungan, suri rumah itu juga mempunyai faktor risiko kesihatan lain.

Usaha untuk membawa suri rumah dengan selamat dari Pulau Redang, hanya dapat dilaksanakan selepas tiga hari berikutan cuaca buruk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 10:37 PM