Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) tampil mengemukakan lima cadangan berhubung penangguhan sementara ibadah umrah.

Presiden Bumitra Malaysia Harun KC Ahmmu berkata, penangguhan itu mengakibatkan banyak pengendali umrah terpaksa menutup semula operasi perniagaan akibat kegagalan membayar tuntutan bayaran kepada jemaah.

Beliau berkata, cadangan pertama adalah pihaknya sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam membantu ketibaan jemaah umrah.

Antara lain, katanya, menambah baik proses saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pengendalian khusus jemaah umrah warga emas bagi mengelak kesesakan di kaunter saringan.

"Kita juga memohon caj pembayaran pusat kuarantin atau hotel RM150 sehari bagi setiap jemaah untuk meringankan beban tanggungan jemaah kerana kos yang ditetapkan pada masa ini antara RM250 hingga RM300 amat tinggi.

"Kos kerugian yang ditanggung oleh jemaah atas penangguhan ibadah umrah apabila syarikat penerbangan tidak akan memulangkan tambang penerbangan dan hanya akan memberi peluang kepada agensi pelancongan membuat tempahan semula.

"Kita juga memohon kajian semula mengenai implikasi yang diterima oleh jemaah dan pengendali umrah kesan penangguhan sementara itu," katanya dalam sidang media di Pejabat Bumitra di sini, hari ini.

HARUN K C Ahmmu. FOTO Fariz Iswadi Ismail
HARUN K C Ahmmu. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Sabtu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak berikutan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah umrah.

Beliau dilaporkan berkata, penangguhan itu bagi memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah umrah sebelum aktiviti terbabit boleh dibenarkan semula.

Mengulas lanjut, Harun berkata, penangguhan sementara berkenaan menyebabkan kerugian besar dan kos pembatalan yang tinggi kepada jemaah di negara ini.

"Kos pembatalan atau penangguhan tiket penerbangan, hotel penginapan dan caj pembayaran visa umrah kepada muasassah di Arab Saudi yang sudah dibayar sebelum keberangkatan ke Tanah Suci antara faktor yang perlu ditanggung oleh pengendali umrah.

"Sebahagian besar jemaah yang menunaikan ibadah umrah adalah mereka yang tertunda kesan akibat penutupan sempadan negara yang dibuat pada 20 Mac 2020," katanya.

Beliau berkata, visa umrah yang dikeluarkan hanya diberikan sebulan tempoh sah laku dan sekiranya ditangguhkan jemaah perlu memperbaharui semula dengan kos tambahan.

Katanya, begitu juga kos kuarantin yang dikenakan kepada jemaah pulang ke tanah air bermula hari ini juga adalah kos tambahan di luar jangka mereka.

Sehubungan itu, kata beliau, Bumitra sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan varian Omicron.

Beliau berkata, ia bertujuan memberi peluang dan harapan kepada jemaah serta pengendali bagi mengelak kerugian lebih besar selain tekanan emosi yang dialami mereka kesan penangguhan sementara ibadah umrah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 5:04 PM