R VIDYANANTHAN meninjau tapak pembuangan dan pembakaran sampah secara haram di Taman Bukit Kempas. FOTO Mary Victoria Dass
R VIDYANANTHAN meninjau tapak pembuangan dan pembakaran sampah secara haram di Taman Bukit Kempas. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Kerajaan negeri menggesa pelbagai agensi untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap pencemaran dan pembuangan bahan binaan secara haram dan sisa berbahaya di Taman Bukit Kempas di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor R Vidyananthan berkata, agensi berkaitan seharusnya telus mengambil tindakan tanpa membuang masa.

Beliau berkata, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) harus mengambil langkah untuk membersihkan tapak berkenaan daripada sampah dan pencemaran serta menuntut kos pembersihan daripada pemilik tanah, selain pemilik tanah juga seharusnya diheret ke mahkamah.

"Kita memberi tempoh sebulan bagi tindakan kerana ia tidak boleh biarkan begitu saja. Ia boleh menjejaskan penduduk yang tinggal di kawasan sekitar.

"Kita berharap boleh melihat perkembangan atau perubahan baik dalam tempoh terdekat," katanya ketika meninjau tapak pembuangan dan pembakaran sampah secara haram di Taman Bukit Kempas di sini, baru-baru ini.

Vidyananthan berkata, agensi penguat kuasa termasuk polis seharusnya meningkatkan rondaan bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti haram di kawasan berkenaan.

"Kami juga mengenal pasti sebuah kilang di kawasan berhampiran iaitu di tanah bagi tujuan pertanian.

"Siapa yang memberi mereka kelulusan, saya akan mengemukakan laporan mengenai perkara ini kepada Menteri Besar," katanya.

Pada 4 Disember lalu, akhbar ini melaporkan isu pencemaran udara dialami penduduk Taman Bukit Kempas akibat masalah pembuangan dan pembakaran sampah.

Isu berkenaan berlarutan sejak enam tahun lalu hingga menimbulkan kebimbangan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 5:40 PM