Raven Kumar, dan Dr Mohd Famey meninjau tapak pembuangan sampah haram di Ulu Choh, Gelang Patah, di sini, semalam. FOTO IHSAN JAS
Raven Kumar, dan Dr Mohd Famey meninjau tapak pembuangan sampah haram di Ulu Choh, Gelang Patah, di sini, semalam. FOTO IHSAN JAS
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah mengeluarkan notis kepada pemilik tanah yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram di Ulu Choh, Gelang Patah, di sini.

Pengarahnya, Dr Mohd Famey Yusoff, berkata notis dikeluarkan susulan pembakaran terbuka yang berlaku di tapak pembuangan haram itu.

"JAS sudah mengeluarkan notis menghentikan pembakaran terbuka kepada pemilik tanah persendirian di kawasan Ulu Choh berikutan tapak tanahnya itu dijadikan tapak pembuangan sampah haram.

"Di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mahkamah dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar, berkata beliau mendapat banyak aduan berkaitan masalah kebakaran terbuka timbunan sampah sarap haram di Ulu Choh.

Berikutan itu, beliau bersama JAS Johor telah melakukan lawatan tapak bagi mengenal pasti punca dan menyelesaikan masalah kebakaran terbuka ini.

"Masalah kebakaran terbuka timbunan sampah sarap di tapak pelupusan sampah haram termasuk di Ulu Choh semakin menjadi-jadi dan mengganggu kesihatan penduduk sekitar.

"Jadi, satu jawatankuasa pasukan khas akan diwujudkan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT), JAS, SWCorp Sdn Bhd, pejabat daerah dan pemilik tanah bagi mencari jalan penyelesaian memastikan kerja pembersihan sampah di tapak itu dapat dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 3:44 PM