PASUKAN Bencana Istana Negara ketika misi membantu mangsa banjir. FOTO Facebook Istana Negara
PASUKAN Bencana Istana Negara ketika misi membantu mangsa banjir. FOTO Facebook Istana Negara
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pasukan Bencana Istana Negara yang ditubuhkan atas cetusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengadakan misi bantuan kepada mangsa banjir di empat daerah di Selangor, semalam.

Istana Negara dalam catatan yang dimuat naik di Facebook rasmi hari ini memaklumkan empat daerah berkenaan meliputi Klang, Shah Alam, Hulu Langat dan Kuala Langat.

"Pasukan Bencana Istana Negara ini ditubuhkan atas cetusan idea Seri Paduka dengan tujuan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang telah kehilangan tempat berteduh dan mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda susulan bencana banjir.

"Seri Paduka amat prihatin terhadap nasib mangsa banjir dan amat bersimpati dengan ujian serta keperitan yang ditanggung mereka dan menzahirkan harapan semoga bantuan serta sumbangan yang dihulurkan dapat mengurangkan beban mereka," menurut catatan itu.

Pasukan Bencana Istana Negara diterajui Brig Jen Datuk Mohd Zahari Yahya, yang juga merupakan Juruiring Udara kepada Al-Sultan Abdullah.

Menurut catatan itu seramai 120 pegawai dan kakitangan Istana Negara tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan berbentuk barang keperluan harian seperti kelengkapan dandanan diri, pakaian, tuala, makanan kering dan air serta termasuk kit Covid-19 kepada mangsa banjir.

Pasukan itu juga turut membantu membersihkan masjid dan kediaman mereka yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 12:36 PM