Siti Rohana Idris

Jeli: Rakyat Kelantan diingatkan supaya tidak berasa terlalu selesa dengan keputusan peralihan ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan berkuat kuasa 3 Januari ini.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, langkah waspada masih perlu ditekankan berikutan wabak Covid-19 masih belum berakhir sepenuhnya tambahan ancaman varian Omicron yang semakin menular.

Beliau berkata, susulan pengumuman mengenai peralihan fasa itu yang dibuat hari ini, pihaknya sedang menunggu penyesuaian prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan disesuaikan nanti termasuk kapasiti jemaah masjid.

"Apabila sudah beralih daripada fasa tiga kepada empat nanti, sudah pasti ada kelonggaran untuk rakyat berkumpul dan menganjurkan kenduri atau majlis kesyukuran.

"Dari segi kapasiti jemaah masjid atau program untuk mengimarahkannya, keputusan itu bergantung kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dengan perkenan Sultan Kelantan.

"Apapun, jangan rasa selesa kerana masih ada ancaman (varian) Omicron dan ini semua ujian yang perlu kita terima dengan sabar malah yang penting masih perlu ikut SOP," katanya kepada pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kesedar Bukit Lakota, di sini, hari ini.

Beliau ditemui di PPS itu ketika melawat 196 mangsa banjir membabitkan 85 keluarga yang ditempatkan di situ sambil menyerahkan bakul makanan.

Ahmad berkata, setakat ini situasi banjir yang berlaku di Kelantan berjaya ditangani dengan baik dan mangsa serta petugas tidak berdepan dengan sebarang masalah besar.

Beliau berkata, selain penugasan cemerlang yang dilakukan petugas dan pihak berwajib, rakyat khususnya mangsa banjir sudah mengambil langkah awal serta menyifatkan mangsa 'terlebih' peka dengan keadaan semasa.

"Tindakan mereka (mangsa banjir) yang terlebih peka dengan situasi semasa dapat menyelamatkan dokumen penting selain berlindung ke tempat selamat dengan segera," katanya.

Ditanya mengenai tahun baharu yang akan disambut esok, Ahmad menyarankan agar sambutan diterjemahkan kepada solat hajat sebagai tanda kesyukuran dan memohon agar dijauhkan musibah seperti sebelum ini.

"Tahun ini kita berdepan dengan dua musibah besar iaitu wabak Covid-19 serta banjir dan sehubungan itu, kita perlu bermunajat dan buat solat hajat untuk memohon agar dugaan sama tidak berulang lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 6:57 PM
hmad Yakob (tengah) menyampaikan bakul makanan kepada 85 keluarga mangsa banjir di Masjid  Bukit Lakota,  di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
hmad Yakob (tengah) menyampaikan bakul makanan kepada 85 keluarga mangsa banjir di Masjid Bukit Lakota, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR