Foto hiasan
Foto hiasan
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara langkah mengisytiharkan peralihan ke fasa endemik berikutan peningkatan kes penularan varian Omicron di Malaysia ketika ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, mengikut perancangan asal pengumuman peralihan itu sepatutnya dibuat pada minggu pertama bulan ini.

Bagaimanapun, menurutnya, ia terpaksa ditangguhkan berikutan peningkatan jangkitan varian Omicron selain kesan daripada individu yang kembali dari luar negara khususnya yang menunaikan ibadah umrah di Arab Saudi serta kesan bencana banjir baru-baru ini.

"Minggu pertama bulan ini, saya sebenarnya nak umumkan bahawa kita nak masuk kepada fasa transisi endemik.

"Tetapi kita nak tunggu sedikit masa lagi (satu atau dua minggu) kerana apabila kita umumkan fasa transisi endemik ada tujuh atau lapan perkara yang perlu kita maklumkan kepada orang ramai.

"Contohnya, prosedur operasi standard (SOP) kita kurangkan kepada satu sahaja iaitu usaha untuk 'self testing trace" yang saya dah umumkan sebelum ini, semua itu kita kena didik (educate) orang ramai apabila ia dimuktamadkan," katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Kukusan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan pada bila-bila bersedia membuat pengumuman atau mengisytiharkan peralihan ke fasa endemik kerana setiap negeri masing-masing sudah memasuki fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketika ditanya sama ada kelewatan langkah kerajaan membuat pengisytiharan ke fasa endemik itu bakal memberi kesan kepada negara, beliau menjelaskan situasi di negara lain di dunia juga ketika ini cukup membimbangkan.

Menurutnya, mengambil contoh di Amerika Syarikat pada dua minggu lalu sahaja sudah mencatatkan jumlah jangkitan wabak Covid-19 mencecah satu juta kes dalam tempoh sehari dan terkini dilaporkan mencecah sehingga 500,000 kes sehari.

Katanya, terbaru di Australia yang sebelum ini berada dalam perintah kawalan pergerakan turut merekodkan jumlah jangkitan 60 ribu kes sehari.

"Walaupun varian Omicron ini mungkin kesan jangkitan adalah kurang berbanding varian-varian lain tetapi semestinya dengan penularan secara besar-besaran akan menjejaskan kesihatan rakyat selain memberi tekanan kepada penggunaan katil-katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital kita.

"Sebab itu kita nak buka sempadan, kita nak beri kelonggaran, saya dah kata kita tak akan tutup besar-besaran lagi tetapi dalam kita nak buka pun janganlah besar-besaran juga dan mestilah mengikut keadaan dan situasi semasa.

"Tak popular tak apa tetapi yang penting kesihatan dan keselamatan orang ramai menjadi keutamaan," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 2:53 PM