Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh (kiri) menunjukkan rangka kenderaan yang dirampas dalam serbuan. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh (kiri) menunjukkan rangka kenderaan yang dirampas dalam serbuan. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Tiga ahli kongsi gelap geng 08 diberkas polis ketika sedang leka meleraikan komponen kenderaan curi di sebuah rumah di Jalan Ladang Telok Taman Indah, Telok Panglima Garang di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, penahanan jam 12.30 tengahari Jumaat lalu itu membongkarkan aktiviti meleraikan komponen kenderaan secara haram sebelum menjualnya semula.

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat yang melakukan intipan selama 30 minit di rumah berkenaan.

"Risikan mendapati halaman belakang kediaman itu dijadikan bengkel haram untuk aktiviti jenayah kumpulan itu.

"Ketika serbuan, polis mendapati tiga lelaki sedang leka meleraikan komponen enam kenderaan di kawasan halaman kediaman itu. Mereka turut gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.

"Ketiga-tiga suspek ditahan berumur antara 29 hingga 47 tahun," katanya dalam sidang media di IPD Kuala Langat di sini, tadi.

Ahmad Ridhwan berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas lima rangka kereta, sebuah rangka kenderaan pacuan empat roda dan sebuah rangka motosikal.

"Siasatan mendapati, rangka kenderaan itu masing-masing membabitkan kereta Proton Waja, Proton Iswara, Kia Spektra, Perodua Kancil, motosikal Yamaha 125Z dan pacuan empat roda

"Hasil soal siasat, suspek memberitahu kenderaan dibeli harga pukal daripada orang tengah iaitu seorang lelaki pada harga RM300 sehingga RM1,000 setiap satu.

"Bagaimanapun, semasa serbuan dilakukan, suspek gagal menunjukkan bukti pembelian dan geran asal kenderaan itu," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati bengkel berkenaan beroperasi sejak dua minggu lalu.

"Modus operandi kumpulan ini adalah meleraikan komponen kenderaan untuk dijual kepada pihak ketiga manakala komponen yang tidak boleh digunakan atau rosak akan dijual ke kedai besi buruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 7:32 PM