Gambar hiasan
Gambar hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang pesara kerugian RM108,500 diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa wang dalam akaun banknya daripada sumber haram dan tidak berdaftar.

Terdahulu, mangsa, 66, dihubungi lelaki mendakwa anggota polis berpangkat sarjan yang mengarahkannya memindahkan wang ke satu akaun untuk tujuan siasatan dan akan dikembalikan selepas siasatan selesai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, mangsa melakukan empat transaksi ke akaun sama daripada 13 hingga 15 Disember lalu berjumlah keseluruhan RM108,500.

"Mangsa menerima panggilan telefon daripada pihak tidak dikenali sebelum bercakap dengan suspek mengaku 'Sarjan Lee' dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak jam 4.30 petang, 10 Disember lalu.

"Mangsa mengatakan wang dalam akaunnya bukan daripada sumber haram dan ia milik mendiang bapanya," katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, suspek mengarahkan mangsa melakukan pindahan wang dan mangsa memindahkan RM50,000 pada 13 Disember lalu ke akaun bank milik 'Hadir bin Andi'.

Menurut Aibee, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa melakukan tambahan pindahan wang ke akaun sama.

"Pada hari berikutnya, mangsa melakukan dua transaksi masing-masing berjumlah RM50,000 dan RM3,500.

"Kali terakhir, pada 15 Disember lalu, mangsa membuat transaksi RM5,000. Sindiket kemudiannya memberi satu tempoh untuk wang berkenaan dikembalikan apabila siasatan selesai," katanya.

Menurut Aibee, mangsa yang tidak menerima apa-apa perkembangan berkaitan wangnya kemudiannya membuat laporan polis berkaitan kejadian.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 3:54 PM