FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Fahmy A Rosli
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa negeri akan mengalami hujan dan ribut petir bermula hari ini sehingga 29 Oktober.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, cuaca pada sebelah petang, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di hampir semua negeri.

Manakala cuaca pada sebelah malam, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat di Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Sarawak, Sabah dan Labuan.

Bagi negeri lain, katanya kawasan berkenaan dijangka tidak ada hujan atau mengalami cuaca mendung.

"Keadaan cuaca di Semenanjung Malaysia masih lembap pada sebelah petang ke lewat malam dan dijangka mula berkurangan pada 25 Oktober terutamanya di pantai barat Semenanjung Malaysia (cuaca bertumpu di pedalaman Semenanjung Malaysia).

"Manakala keadaan cuaca di Sabah dan Sarawak kekal lembap dalam tempoh ramalan. Hujan juga diramal berlaku di berapa tempat di Labuan," katanya kepada BH hari ini.

Muhammad Helmi berkata MetMalaysia juga bertindak mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan pada peringkat waspada untuk Sabah yang berkuatkuasa sehingga hari ini.

Jelasnya sistem tekanan rendah yang wujud di Perairan Sulu mempengaruhi corak tiupan angin dan cuaca di Sabah.

Berdasarkan kriteria amaran hujan lebat yang dipaparkan di laman web MetMalaysia, peringkat waspada yang berwarna kuning merujuk hujan berterusan dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari lagi.

Ia juga merujuk kepada hujan berterusan atau ribut petir sedang berlaku tetapi belum mencapai peringkat amaran buruk.

MetMalaysia turut memuatnaik langkah-langkah keselamatan untuk rujuk orang ramai bagi mengelakkan dari sebarang kejadian buruk berlaku ketika fenomena ribut petir menerusi akaun Facebook jabatan itu.

Ia mengandungi penerangan mengenai pembentukan ribut petir, kesan ribut petir, panduan keselamatan sebelum dan semasa ribut petir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 2:05 PM