Zatul Iffah Zolkiply

Dungun: Lebih 1,000 orang kurang upaya (OKU) di Terengganu diberi keutamaan untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku banjir.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata, maklumat mengenai kesemua mangsa banjir itu diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada mereka memandangkan pergerakan golongan berkenaan adalah terbatas dan tindakan awal perlu dilakukan bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

"Kita akan selamatkan mereka ini dahulu dengan memindahkan mereka ke PPS berhampiran sekiranya hujan lebat berterusan dan berisiko banjir.

"Dalam erti kata lain pemindahan ini akan dilakukan awal dan tidak perlu tunggu sehingga air paras pinggang.

"Sebagai contoh, di Dungun sahaja, kita mengenal pasti seramai 99 OKU yang perlu dipindahkan jika berlaku banjir di daerah ini," katanya ketika ditemui ketika melakukan tinjauan banjir di Kampung Pasir Raja di sini, hari ini.

MD HILMAN  (kanan) ketika melawat salah orang kurang upaya (OKU) di  Kampung Pasir Raja. FOTO Ghazali Kori
MD HILMAN (kanan) ketika melawat salah orang kurang upaya (OKU) di Kampung Pasir Raja. FOTO Ghazali Kori

Md Hilman berkata, pihaknya turut memberi keutamaan kepada golongan warga emas, mereka yang menghidap penyakit dan kanak-kanak.

Katanya, pihaknya bersama agensi penyelamat yang lain juga sentiasa berhubung dengan jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK) yang ada bagi memantau situasi semasa di kawasan berkenaan.

"Kami mengingatkan penduduk di negeri ini tidak leka dan segera berpindah sekiranya air sungai melimpahi tebing susulan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

"Walaupun kita biasa menghadapi monsun timur laut, penduduk perlu sentiasa berwaspada khususnya yang tinggal di kawasan rendah termasuk di tepi sungai bagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 5:57 PM