Hazani melepaskan tembakan RPG ketika Latihamal di ladang Melangking, Sukau, Kinabatangan. FOTO Juwan Riduan
Hazani melepaskan tembakan RPG ketika Latihamal di ladang Melangking, Sukau, Kinabatangan. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kinabatangan: Latihamal 'Latika Andaian Sabah 2021' diadakan bagi memantapkan lagi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di setiap daerah di negeri ini sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan di masa hadapan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, ia bukan saja membabitkan krisis keganasan tetapi juga pemantapan pengurusan bencana alam.

Katanya, sepanjang latihan selama dua hari itu, setiap Ketua Polis Daerah di negeri ini diberikan ilmu dan pengetahuan sepenuhnya yang difikirkan bersesuaian.

"Dalam Majlis Keselamatan Negara 20 (MKN20), setiap ketua polis daerah adalah ketua operasi di lapangan setiap kali berlaku bencana.

"Merekalah yang berkuasa untuk mengatur pengoperasian pelbagai agensi berdepan krisis keganasan ataupun bencana," katanya ketika ditemui selepas selesai Latihamal di kawasan ladang Melangking, Sukau, di sini, semalam.

Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Terdahulu, Hazani menyaksikan adegan menyelamatkan dua tebusan oleh pasukan 69 Komando dan pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) di kawasan ladang sawit Melangking.

Beliau turun melepaskan tembakan RPG dari pentas pemerhati ke kawasan lokasi adegan pertempuran pada jarak 400 meter.

Hazani berkata, setakat ini, PDRM bersama agensi lain sentiasa bersiap sedia berdepan sebarang krisis atau bencana.

Katanya, tahap keselamatan di Sabah juga berada dalam keadaan terbaik dan ia dimantapkan lagi dengan latihan kali ini.

"Setakat ini, dari segi keanggotaan, PDRM dan agensi keselamatan lain mencukupi dan bersedia berdepan sebarang kemungkinan.

"Kita akan terus mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara kita," katanya.

Sementara itu, Hazani berkata, latihamal ini tidak hanya khusus untuk negeri Sabah semata-mata malah ia akan dilakukan di seluruh negara.

Katanya, selepas ini, pihaknya merancang untuk menganjurkan latihan ini di Sarawak dan semenanjung Malaysia yang dipecahkan kepada tiga zon.

"Ini bertujuan memperkukuhkan ilmu-ilmu dan menambahkan lagi pengetahuan dalam urusan krisis keganasan dan pengurusan bencana alam pada semua ketua polis daerah di Malaysia," katanya.

Antara kapal yang terbabit dalam PASSEX antara TLDM dan TLJ di Selat Melaka, semalam. Foto Ihsan TLDM
Antara kapal yang terbabit dalam PASSEX antara TLDM dan TLJ di Selat Melaka, semalam. Foto Ihsan TLDM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 4:39 PM