KEADAAN banjir di Kampung Sungai Ganchong, Pekan, semalam. FOTO Farizul Hafiz Awang
KEADAAN banjir di Kampung Sungai Ganchong, Pekan, semalam. FOTO Farizul Hafiz Awang
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri bersedia menggerakkan sukarelawan ke negeri terjejas banjir bagi membantu proses pembersihan rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setakat ini, dua misi bantuan mangsa banjir sudah digerakkan ke Pahang.

Beliau berkata, sambutan diterima daripada sukarelawan negeri ini sangat menggalakkan apabila misi yang dijalankan sebelum ini melepasi sasaran yang ditetapkan.

"Kita tidak menolak kemungkinanuntuk mengadakan misi bantuan banjir sekiranya keadaan masih memerlukan dan banjir masih lagi berlaku.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada situasi di Terengganu sendiri dan jika tempat kita tidak ada masalah yang besar, maka ada kemungkinan kita akan adakan siri yang berikutnya," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Operasi Bantuan Pasca Banjir 2021 Pahang di sini semalam.

Wan Sukairi berkata, pihaknya memfokuskan misi bantuan ke Pahang yang menjadi antara negeri yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan menilai keperluan melakukan misi sama di negeri lain yang terjejas banjir seperti Selangor.

"Bantuan kita berdasarkan keperluan dan jika di Pahang masih memerlukan, kita akan ke sana tetapi sekiranya keadaan di sana sudah pulih dan Selangor masih memerlukan bantuan untuk pasca banjir, kita akan ke sana.

"Ketika ini, tumpuan kita adalah Pahang dan lokasi lain kita akan lihat kepada keperluan semasa," katanya.

Lebih 600 sukarelawan termasuk pelbagai agensi kerajaan negeri dan kerajaan pusat menyertai misi bantuan ke Pahang selama tiga hari sehingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 12:38 PM