Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Perak mencatatkan satu lagi kes varian Omicron apabila seorang warga tempatan dikesan positif selepas pulang menunaikan umrah dari Arab Saudi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin, ia adalah kes kedua direkodkan selepas kes pertama membabitkan seorang pelajar berusia 19 tahun yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan bulan lalu.

"Ia dapat dikesan ketika individu berkenaan berada dalam tempoh kuarantin.

"Setakat ini individu berkenaan mengikut dari segi disiplin kuarantin dan semua dalam keadaan terkawal," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perak di Hotel Excelsior di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebagai mengulas apabila ditanya pemberita berhubung beberapa negeri yang dikesan kes positif varian Omicron membabitkan jemaah umrah.

Mohd Akmal berkata, bagaimanapun pihaknya belum mendapat maklumat lebih terperinci berkenaan individu terbabit.

KELIHATAN pengembara yang selesai menunaikan umrah tiba di balai ketibaan KLIA. FOTO Danial Saad
KELIHATAN pengembara yang selesai menunaikan umrah tiba di balai ketibaan KLIA. FOTO Danial Saad

Beliau berkata, sehubungan itu pihaknya memohon kerjasama baik dengan syarikat umrah dan semua pihak untuk akur dengan arahan kuarantin selama seminggu yang ditetapkan.

"Mungkin ramai yang menganggap perkara ini remeh dengan ada yang bersalaman, berpelukan.

"Jadi, kita minta mereka yang balik dari umrah itu duduk senyap-senyap di rumah dan tidak perlu berjumpa dengan orang, ini kerana kita bimbang (jika ada kes) ia akan merebak.

"Setakat ini kita pakaikan gelang digital kepada semua yang baru balik dari umrah disamping dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing," katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Melaka dan Johor merekodkan kes positif varian Omicron membabitkan jemaah umrah.

Media sebelum ini turut melaporkan, Sebanyak 62 kes Covid-19 varian Omicron dikesan di Malaysia setakat ini, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 7:45 PM