KHAIRY. FOTO Arkib Bernama
KHAIRY. FOTO Arkib Bernama
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 58 kes positif Covid-19 baharu disahkan varian Omicron termasuk empat kes penularan tempatan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kes baharu itu dikesan melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Beliau berkata, 54 kes daripada jumlah itu adalah jangkitan import dari luar negara membabitkan 39 kes dari Arab Saudi, tujuh kes Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom (empat), Nigeria (dua) dan masing-masing satu kes dari Kazakhstan serta Perancis.

Katanya, baki empat kes adalah penularan tempatan yang dipercayai mendapat jangkitan daripada seorang jemaah umrah positif Covid-19 varian Omicron.

"Kes penularan tempatan itu dilaporkan di Kedah pada hari ini. Keempat-empat kes adalah kontak rapat kepada kes positif Covid-19 varian Omicron yang balik daripada mengerjakan umrah di Arab Saudi pada 12 Disember dan disahkan positif pada 24 Disember lalu.

"Pendedahan kepada kes ini berlaku pada 13 Disember dan kesemua mereka mula bergejala dengan kategori dua pada 17 Disember.

"Ujian RT-PCR Covid-19 yang dijalankan selanjutnya pada 19 Disember adalah positif dengan CT Value antara 20.80 hingga 21.49. Kesemua mereka diberi rawatan selama 14 hari di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Khairy berkata, ujian WGS ke atas sampel yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron masih dijalankan.

Beliau berkata, kes terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak 122 kes.

"Daripada jumlah itu, 117 kes adalah jangkitan import dari luar negara manakala lima kes lagi adalah penularan tempatan.

"Daripada keseluruhan kes varian Omicron yang dilaporkan, sebanyak 71 kes atau 58.2 peratus dalam kalangan jemaah umrah," katanya.

Menurut Khairy, hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan oleh IMR terhadap 1,774 kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang tiba di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 31 Disember lalu mendapati 1,220 (68.8 peratus) sampel menunjukkan berkemungkinan varian Omicron.

Kata beliau, 928 (76.1 peratus) daripada jumlah itu membabitkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi.

Justeru, beliau mengingatkan individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di rumah untuk terus mematuhi arahan, kekal dalam bilik berasingan dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu lain.

Kegagalan mematuhi arahan akan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron kepada ahli keluarga dan dalam komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 8:24 PM