FOTO AFP
FOTO AFP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 2,763 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pengembara yang tiba di pintu masuk antarabangsa (PMA), sejak 1 Januari 2021 sehingga 30 Disember lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,446 kes positif dikesan dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi diikuti Singapura (322 kes), Indonesia (264 kes) dan United Kingdom (217 kes).

Bagi tempoh 14 hari iaitu minggu epid ke-51 dan 52, kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 1,161 kes berbanding Singapura (13 kes), Indonesia (8 kes) dan United Kingdom (49 kes).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sehingga 30 Disember lalu, seramai 11,108 jemaah umrah tiba di Malaysia dan 1,306 daripadanya atau 11.76 peratus dikesan positif.

"Daripada jumlah itu, 592 dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia dan 714 kes dikesan positif pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.

"Semalam, dua lagi kes Covid-19 disahkan varian Omicron menjadikan jumlah keseluruhan varian itu sebanyak 64 kes.

"Hampir keseluruhan iaitu 63 kes membabitkan pengembara dan satu kes disyaki jangkitan tempatan. Daripada 64 kes jangkitan varian Omicron ini, sebanyak 32 kes atau 50 peratus dikesan dalam kalangan jemaah umrah," katanya dalam sidang media hari ini.

Mengenai kluster Covid-19 pula, Khairy berkata, sembilan kluster membabitkan jemaah umrah iaitu lima daripada kes indeks yang disahkan varian Omicron, satu kluster kes indeks 'Presumptive Omicron' yang menunggu keputusan dan tiga kluster kes indeks yang bukan varian Omicron.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perhimpunan berskala besar jemaah dari pelbagai negara semasa di Arab Saudi mendedahkan mereka kepada risiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron.

"Situasi ini menyukarkan jemaah untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) umrah yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

"Jemaah umrah juga berkemungkinan dijangkiti semasa berada di Arab Saudi tetapi masih dalam tempoh inkubasi jangkitan menyebabkan ujian saringan sebelum bertolak balik ke Malaysia masih negatif," katanya.

Malah, katanya, bilangan ketibaan jemaah umrah Malaysia yang ramai iaitu kira-kira 800 ke 1,000 sehari melalui empat penerbangan khas meningkatkan lagi risiko pengimportan kes Covid-19 dan varian Omicron ke dalam negara.

Beliau berkata, penularan kes Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga jemaah juga disebabkan oleh ketidakpatuhan kepada SOP semasa menjalani kuarantin di rumah dan berlakunya aktiviti ziarah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 10:14 AM