EIDIA Erriany menyasarkan agar The Treasure menjadi destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa dengan menawarkan pengalaman menerokai khazanah alam kepada semua lapisan umur. Foto Muhamad Lokman Khairi
EIDIA Erriany menyasarkan agar The Treasure menjadi destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa dengan menawarkan pengalaman menerokai khazanah alam kepada semua lapisan umur. Foto Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Gopeng: Kawasan seluas 22 hektar dahulunya dikenali sebagai Taman Herba Gopeng pernah menjadi kawasan terbiar kerana kekurangan pengunjung kini diberi nafas baharu selepas Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) sebagai pemilik tanah menjalankan kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan yang bertindak sebagai pemberi dana dan operator baharu bermula Januari 2021.

Kawasan berkenaan kini sudah dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan pelancongan serta dijenama semula sebagai The Treasure@Taman Herba Gopeng yang menyasar menjadi lokasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Pengarah Urusannya, Eidia Erriany Abd Rahman berkata pihaknya tetap mengekalkan herba menjadi tarikan utama, bahkan penanaman semula pokok herba serta pemulihan landskap taman herba diutamakan semasa fasa pertama penaiktarafan.

"Sewaktu kami ambil alih dahulu, terdapat pokok herba asal yang masih hidup dan banyak juga yang mati. Maka, antara tugas awal adalah menanam semula pokok yang sudah tiada, kebiasaannya pokok ini memerlukan penjagaan khusus, contohnya misai kucing.

"Kini terdapat lebih 527 spesies pokok herba yang ditanam dan The Treasure juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai taman herba terbesar di Malaysia dengan paling pelbagai spesies di dalamnya.

"Setiap pokok herba di sini disertakan papan maklumat seperti nama, khasiat serta cara penggunaannya. Malahan, papan info ini disertakan dengan kod QR sebagai langkah pendigitalan dan memudahkan peminat herba mengaksesnya," katanya.

Eidia Erriany berkata, penjenamaan semula The Treasure@Taman Herba Gopeng menandakan permulaan era baharu dengan fokus kepada kelestarian, pendidikan berimpak sepanjang hayat serta pembangunan komuniti dan alam sekitar.

The Treasure kini lebih daripada sekadar taman herba, ia juga membangunkan laman akuaponik, tapak perkhemahan, villa, tasik untuk aktiviti kayak dan memancing, kenderaan pelbagai permukaan (ATV) untuk dewasa dan kanak-kanak, taman permainan air kanak-kanak, bilik mesyuarat, serta tapak perkahwinan bertemakan taman.

"Kita memang menyasarkan supaya The Treasure menjadi satu destinasi yang mesra keluarga dan juga sangat sesuai bagi pihak korporat yang ingin menganjurkan sebarang acara.

Kawasan seluas 22 hektar yang dulu dikenali Taman Herba Gopeng, kini dijenamakan semula sebagai The Treasure@Taman Herba Gopeng serta menawarkan pelbagai pakej pelancongan yang menarik. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Kawasan seluas 22 hektar yang dulu dikenali Taman Herba Gopeng, kini dijenamakan semula sebagai The Treasure@Taman Herba Gopeng serta menawarkan pelbagai pakej pelancongan yang menarik. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI

"Setakat ini juga, The Treasure menjalankan kolaborasi bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) bagi berkongsi pengetahuan dan penyelidikan dalam bidang herba, pelancongan serta membangunkan teknologi virtual tour melalui geran bersama.

"Terdapat juga pelancong dari luar negara seperti Kanada, Jepun dan Korea Selatan yang pernah tiba untuk tujuan penyelidikan herba," katanya.

Jelasnya, ia kini menjadi destinasi pelancongan eko yang menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi mengujakan dan banyak pengalaman belajar untuk semua peringkat umur.

Bukan sahaja berjaya memperindahkan semula kawasan tanaman herba yang sudah terbiar, The Treasure juga terbukti membawa limpahan ekonomi kepada usahawan tempatan bagi turut serta menawarkan pakej pelancongan dengan hospitaliti terbaik.

Eidia Erriany berkata, pihaknya berterima kasih kepada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) melalui inisiatif Perak Sejahtera 2030 yang menghubungkan pihaknya dengan kira-kira 50 usahawan setempat yang memberi nilai tambah kepada pakej pelancongan yang ditawarkan.

"Melalui STeP, beberapa usahawan terdiri daripada penduduk kampung berhampiran yang mahir mengurut dijemput bagi menawarkan perkhidmatan mengurut pengunjung dengan menggunakan minyak herba buatan The Treasure.

"Selain itu, ada juga kerjasama bersama usahawan 'water-rafting' bagi pengunjung yang meminati aktiviti lasak sukan air dan mahu bermalam di sini.

"Secara tidak langsung, masyarakat setempat yang juga dapat memperoleh manfaat dalam bentuk pendapatan dan pendedahan mengenai sektor pelancongan daripada The Treasure@Taman Herba Gopeng," katanya.

Mereka yang berminat boleh melayari laman Instagram thetreasure_gopeng untuk mengikuti perkembangan serta foto menarik berdasarkan pengalaman pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 12:42 PM