BEBERAPA kedai serbaneka di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, dipecah masuk, baru-baru ini. FOTO ihsan polis.
BEBERAPA kedai serbaneka di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, dipecah masuk, baru-baru ini. FOTO ihsan polis.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menahan 43 suspek berhubung kecurian dalam kawasan bencana banjir di Selangor sejak 17 Disember lalu sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, penahanan itu selepas polis membuka 13 kertas siasatan berhubung kes kecurian.

Menurutnya, pihaknya tidak menerima laporan berkenaan kejadian kecurian dalam kawasan banjir di negeri lain.

"Sepanjang tempoh itu, empat kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (mencuri motosikal).

"Sembilan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menceroboh pasar raya atau kedai," katanya dalam kenyataan malam ini.

Abdul Jalil berkata, suspek membabitkan 40 lelaki dan tiga wanita dengan kes masih dalam siasatan dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa menjaga keselamatan diri dan harta benda di samping mematuhi semua arahan dikeluarkan kerajaan demi keselamatan serta ketenteraman awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 10:39 PM