MUHAMMAD Idzam Jaafar menunjukkan barang yang digunakan untuk mencuri kenderaan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. FOTO Fathil Asri
MUHAMMAD Idzam Jaafar menunjukkan barang yang digunakan untuk mencuri kenderaan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. FOTO Fathil Asri
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang bekas banduan yang baru bebas dari penjara enam bulan lalu kerana kesalahan mencuri kenderaan, seolah-olah tidak serik apabila sekali lagi ditangkap atas kesalahan sama, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata lelaki warga tempatan berumur 46 tahun itu yang dibebaskan dari Penjara Kajang pada Januari lepas ditahan di kawasan perumahan Flat Sri Sabah, Cheras kerana dipercayai terlibat kes kecurian lapan kenderaan di sekitar Cheras sejak enam bulan lepas.

Menurut Muhammad Idzham semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah serta dipercayai aktif mencuri kenderaan di beberapa kawasan termasuk Cheras, Pudu, Sri Petaling dan di Teluk Intan, Perak.

"Susulan tangkapan itu, polis mengesan dan merampas lapan kenderaan iaitu empat Proton Iswara, dua Proton Saga, sebuah van Nissan Vanette dan sebuah Proton Wira," katanya pada sidang media di IPD Cheras di sini, hari ini.

Muhammad Idzham berkata suspek direman empat hari bermula semalam hingga 9 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau menasihati masyarakat supaya menjaga harta benda masing-masing terutama kereta yang diletakkan di luar kawasan kediaman dengan membuat kunci tambahan bagi mengelakkan kecurian.

Sebarang maklumat mengenai salah laku dan jenayah boleh disalurkan menerusi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-92845050/5051 atau hotline Polis KL, 03-2115999, atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 2:03 PM