TINJAUAN hari pertama sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 di SK Assumption, Bagan Dalam, 10 Januari lalu. FOTO  arkib NSTP
TINJAUAN hari pertama sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 di SK Assumption, Bagan Dalam, 10 Januari lalu. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk menyuraikan murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang ke sekolah berhampiran berhubung pengosongan tapak sekolah berkenaan.

KPM melalui satu kenyataan hari ini berkata, ketetapan ini diambil berdasarkan beberapa justifikasi seperti trend enrolmen murid yang menurun dari setahun ke setahun.

Menurutnya, pada masa ini sekolah itu beroperasi dengan enrolmen murid seramai 53 orang dan terdapat sekolah berhampirandan dapat menampung murid dari sekolah berkenaan yang jaraknya antara 0.35 kilometer (km) hingga 5.8 km.

Katanya,sekolah itu adalah SK Kuala Perai, Butterworth (0.35 km); SK Sungai Nyior (1.7 km), SK St Mark, Butterworth (2.1 km); dan SK Khir Johari (5.5 km) serta SK St Mark, Perai (5.8 km).

"Penyuraian ini dapat meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui agihan semula 15 guru dan dua anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah lain.

"Mengambil kira sesi persekolahan yang sedang berlangsung, KPM telah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah sehingga tamat sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 pada Mac 2022."

Dalam pada itu KPM memaklum, pihaknyaakan membantu memudahkan cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi Kalendar Akademik Sesi 2022/2023.

Kenyataan KPM ini merujuk kepada laporan media berhubung pengosongan tapak SK Assumption yangmerupakan sekolah bantuan kerajaan yang beroperasi di bangunan dan tapak sekolah dimiliki Syarikat Sri Avenue Sdn Bhd sejak 2008.

Pada 3 November lalu, syarikat memaklumkan bahawa telah menerima tawaran pembelian bangunan dan tapak sekolah daripada pihak ketiga.

Sehubungan itu, pihak syarikat memohon supaya KPM mengosongkan bangunan dan tapak sekolah itudengan secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 5:05 PM