WAN Hashim bersama basikal digunakan bagi kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
WAN Hashim bersama basikal digunakan bagi kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
BERNAMA

Kota Bharu: "Alhamdulillah, saya selamat daripada banjir di Selangor dan Pahang untuk teruskan kayuhan dan misi memburu rekod kali ketujuh Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Lelaki Tertua Mengayuh Basikal Secara Solo Mengelilingi Semenanjung," kata pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood.

Wan Hashim, 73, yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan berkata, beliau bernasib baik apabila kayuhan menerusi misi 'Gateh Solo' atau kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia bermula 1 Disember itu melepasi Pahang pada 4 Disember dan Selangor pada 14 Disember, sebelum kedua-dua negeri dilanda banjir.

"Di Selangor, saya memilih laluan Kajang sebelum memasuki Kuala Lumpur dan seterusnya ke Tanjung Malim, Perak pada 17 Disember.

"Walaupun tidak menempuh banjir di Pahang dan Selangor, saya berdepan pelbagai cabaran dan rintangan untuk melepasi setiap negeri," katanya yang dihubungi Bernama, hari ini.

Wan Hashim berkata, beliau ketika ini sedang memasuki Alor Setar, Kedah dan dijangka sampai di Kota Bharu pada 30 Disember yang merangkumi jarak sejauh 2,300 kilometer (km).

Menurutnya, beliau terjatuh empat kali pada kayuhan hari pertama ke Jerteh, Terengganu kerana permukaan jalan licin akibat hujan lebat.

"Lebih menyedihkan apabila dua lampu dipasang khusus di bahagian depan dan belakang basikal rosak kerana hujan sehingga menyukarkan kayuhan.

"Saya bersyukur, walaupun empat kali terjatuh, tiada kecederaan serius kerana saya sempat mengelak daripada kenderaan dan jatuh di tepi jalan berumput," katanya.

Beliau berkata, cuaca buruk pada hari pertama itu menyebabkan perjalanannya tergendala dan sedikit lewat daripada perancangan asal.

Menurutnya, selepas kejadian itu (terjatuh), dia sentiasa berhati-hati untuk mengelakkan perkara sama berulang manakala kedua-dua lampu rosak itu dapat dibaiki.

Katanya, dia turut melapikkan plastik di bawah topi keselamatan dipakai untuk mengelak terkena hujan yang boleh menyebabkan demam.

Wan Hashim mencipta rekod MBOR kali pertama pada 2014 dengan diiktiraf 'Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia' kerana berjaya membuat kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200km.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 5:59 PM