Tengku Faris dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, terhadap pertuduhan mengedar methamphetamine seberat 109.1 gram, tahun lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Tengku Faris dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, terhadap pertuduhan mengedar methamphetamine seberat 109.1 gram, tahun lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


PEMBANTU kedai makan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini, terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 109.1 gram, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Kelantan Datuk Ahmad Bache menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Tengku Faris Engku Bongsu, 22, didapati bersalah apabila gagal untuk mencabar kes pendakwaan di atas imbangan kebarangkalian (Balance of Probabilities).

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 109.1 gram di hadapan kedai motosikal di Jalan Panji, Kota Bharu, 1 pagi pada 29 Jun 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39(2) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.

Ahmad dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati keterangan tertuduh yang juga satu-satunya saksi pembelaan tidak kukuh di akhir kes pembelaan.

"Tertuduh berada di lokasi kejadian berseorangan dan keterangan mengatakan terima bungkusan daripada seorang lelaki dan perlu diserah kepada seorang lagi lelaki lain di tempat kejadian tidak kukuh dan tidak boleh diterima pakai.

"Tertuduh gagal menyangkal pertuduhan itu dan disabitkan dengan kesalahan," katanya.

Tertuduh diwakili peguam, Benedict dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shaharaliza Ab Razak.

Pada masa sama, Ahmad menasihatkan tertuduh supaya tidak kecewa kerana masih mempunyai tiga peluang.

"Kamu jangan sedih kerana boleh membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Jika gagal di peringkat itu, kesalahan ini hanya boleh diampunkan oleh kuasa Yang di-Pertuan Agong. Diharap kamu banyak beribadat dan hukuman dijatuhkan untuk memberi mesej (pengajaran) kepada masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 7:02 PM